MASJID Cahaya Iman (MCI), Bandar Country Homes (BCH), Rawang, Selangor sentiasa memastikan setiap program yang dilaksanakan mencapai mutu terbaik bagi menjadikannya pusat ilmu berdaya saing.
Nazirnya, Tolhah Ramli, berkata antara program yang dilaksanakan MCI ialah mewujudkan pusat pembelajaran tahfiz di bawah pengurusan Institut Maahad Tahfiz (Imtaz).
“Institut tahfiz ini diasaskan Imam I masjid ini, Ustaz Ali Omar al-Hafiz al-Yamani.
“Pihak masjid membantu membiayai sebahagian sewa bangunan Imtaz berhampiran masjid sebagai pusat pembelajaran tahfiz pelajar lelaki.
“Pihak masjid membantu membiayai sebahagian sewa bangunan Imtaz berhampiran masjid sebagai pusat pembelajaran tahfiz pelajar lelaki.
“Antara aktiviti pembelajaran di masjid ini termasuk kaedah menghafaz al-Quran, zikir, qiamullail dan solat berjemaah. Kaedah pembelajaran yang disediakan di sini memudahkan pelajar menghafaz al-Quran dalam masa singkat,” katanya.
Beliau berkata, kaedah pembelajaran yang diguna pakai di Imtaz cukup intensif dan sistematik sehingga ramai pelajar mengakui mereka menghabiskan sepenuhnya 30 juzuk al-Quran dengan berkesan.
“Kelas pengajian dimulakan pada setiap malam selepas Isyak hingga jam 11.30 malam. Manakala pada sebelah pagi kelas bermula selepas solat Subuh sehingga jam 10 pagi.
“Biasanya sebelum menghafaz al-Quran mereka diwajibkan menghafaz beberapa surah iaitu Yasin, Sajadah, al-Mulk dan al-Rahman,” katanya.
Tolhah berkata, wanita tidak ketinggalan dalam menggerakkan modul pembangunan insan yang dikendalikan lujnah wanitanya.
“Beberapa kegiatan dijalankan wanita antaranya setiap pagi mereka mengikuti kelas pengajian agama manakala pada waktu petang diisi dengan ilmu kemahiran memasak dan menjahit.
“Bagi remaja mereka juga mempunyai kegiatan tersendiri yang digerakkan jawatankuasa remaja. Biasanya pihak masjid akan mengadakan kem motivasi kepada remaja apabila menjelang musim peperiksaan, “ katanya.
Menurutnya, bagi membuat rujukan dalam pembelajaran anak kariah, pihak masjid mewujudkan perpustakaan mini.
“Di perpustakaan mini ini, kami menyediakan risalah serta naskhah ilmiah terutama dalam bidang agama bagi memudahkan anak mendapatkan maklumat berkaitan pelajaran di sekolah.
“Malah, cukup membanggakan sudut ilmu itu sering dikunjungi dan dimanfaatkan dengan sepenuhnya anak kecil yang berkumpul beramai-ramai dengan aktiviti membaca,” katanya.
INFO:
Masjid Jamek Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor
Perasmian: Dirasmikan Sultan Syarafuddin Idris pada 7 Disember 2007
Nazir: Ustaz Tolhah Ramli
Setiausaha: Khairul Anwar Othman
Imam 1: Ustaz Ali Omar al-Hafiz al Yamani
Imam 2: Saiyid Anwar Saiyid Mohamad
Imam 3: Razali Akhbar Arsat
Wakil Pemuda: Azalil Ahmad
Wakil Wanita: Habibah Ismail
No comments:
Post a Comment