
Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyampaikan cenderamata kepada saudara baru, Nur Rasyikah Ooi Abdullah selepas melafazkan kalimah syahadah pada majlis perasmian Kompleks Al Saadah di Rahang, dekat Seremban, semalam.
SEREMBAN 19 Jan. - Usaha berdakwah yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bukan bertujuan memecah-belahkan keharmonian keluarga mereka yang memeluk Islam.
Kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memeluk Islam bukannya bermaksud mereka yang terlibat menjadi Melayu dan hubungan dengan keluarga putus.
"Mereka tetap kekal meneruskan kehidupan dengan nama, bahasa dan budaya masing-masing selagi tidak bercanggah dengan Islam," katanya dalam ucapan sempena pelancaran kompleks untuk golongan mualaf, Kompleks Al Saadah di Rahang dekat sini hari ini.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancarkan kompleks itu. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Mohamad turut menjelaskan, dengan wujudnya kompleks berkenaan ia diharap dapat menjadi pusat kecemerlangan saudara baru di negeri ini sebagaimana cemerlangnya penyebaran Islam di negara China suatu ketika dahulu.
"Ini merupakan julung kali satu kompleks khusus bagi keperluan golongan mualaf dibina dalam skala besar di bawah peruntukan Program Pembangunan Hartanah Wakaf Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilaksanakan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan dibiayai bersama melalui peruntukan Dana Zakat MAINS," jelas Mohamad.
Katanya, sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan untuk projek ini di mana RM4.5 juta adalah dari peruntukan di bawah RMK-9 yang disalurkan melalui Jawhar manakala RM3.2 juta daripada peruntukan MAINS.
Mengenai isu murtad pula, Mohamad menjelaskan, di negeri ini ia tidak begitu kritikal sebagaimana dilaporkan.
"Jumlah permohonan yang tinggi disebabkan negeri ini merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan penentuan status agama dan sebab itu semua kes didaftar dan direkodkan.
"Sebenarnya jumlah yang berjaya dipulih dan diberi kaunseling jauh lebih ramai daripada jumlah permohonan yang diterima, manakala Unit Rundingcara Akidah di Jabatan Mufti negeri telah ditubuhkan sejak 2002 lagi bagi mengatasi masalah ini," tegasnya.
Kompleks Al Saadah dibina menggunakan reka bentuk bangunan Cina dan kini menjadi pusat agama bagi golongan mualaf yang berjumlah hampir 2,000 orang dengan dua persatuan saudara baru beroperasi di situ iaitu Muslim Revert Association (MRA) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan negeri ini.
No comments:
Post a Comment