Laman Utama

Monday, 27 February 2012

Seragam Undang-Undang Murtad

Oleh Norhidayah Che Din

KUALA LUMPUR: Undang-undang murtad yang seragam di seluruh negara perlu digubal dalam usaha membendung penularan gejala berkenaan.

Ini berikutan peruntukan undang-undang sedia ada antara negeri tidak selaras, menyebabkan berlaku beberapa peruntukan longgar mengenai isu murtad hingga usaha membanteras gejala itu gagal dilaksanakan secara berkesan.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata satu akta khusus dan seragam berkaitan murtad juga perlu digubal supaya permohonan menukar agama daripada Islam kepada agama lain dapat dihalang.
Katanya, undang-undang baru berkenaan perlu dikuatkuasakan pihak berkuasa agama dan dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Setakat ini, enakmen negeri mengenai murtad sudah diwujudkan, kecuali beberapa negeri yang masih belum menggubal undang-undang berkenaan.

Sehubungan itu, kami merayu Majlis Raja-raja Melayu mengadakan sidang khas bagi mewujudkan undang-undang murtad yang digubal secara seragam di seluruh negara dalam usaha membendung penularan gejala berkenaan, katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata, kesalahan menjalankan kegiatan untuk memurtadkan umat Islam selama ini sepatutnya boleh didakwa di mahkamah sivil, tetapi sehingga kini penguatkuasaannya masih menjadi tanda tanya.
Justeru, katanya, tindakan mewujudkan undang-undang murtad perlu segera diambil bagi memperkemaskan peruntukan dalam undang-undang, sekali gus mengekang gejala murtad.

Mengulas lanjut perkara itu, Mohd Azmi berkata kelemahan penguatkuasaan undang-undang berkaitan murtad mengakibatkan umat Islam di negara ini terdedah kepada agenda pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang menyesatkan umat Islam.

Katanya, MAPIM merayu Majlis Raja-Raja Melayu memberi perhatian serius kerana pegangan aqidah umat Islam bukan saja perlu dilindungi dengan pendidikan dan kesedaran, malah diperkukuhkan melalui perundangan kerana Islam menganggap murtad adalah perbuatan jenayah.

Beliau berkata, penyelarasan undang-undang murtad perlu segera dilaksanakan bagi memastikan tidak ada negeri di negara ini yang membolehkan seseorang itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam. 

Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Seragamundang-undangmurtad/Article

Transformasi Majlis Agama

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyarankan Majlis Agama Islam di seluruh negara mengkaji inisiatif baru bagi memperkukuh keupayaannya, terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan.

Menurut baginda, bagi mencapai hasrat itu majlis agama perlu menganalisis isu dalam bidang ekonomi dan pendidikan mengikut perkembangan semasa.
Bertitah merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Peringkat Kebangsaan 2012 di sini, semalam, baginda berharap majlis agama juga sentiasa merebut peluang dalam pelbagai bidang yang ada.
Kedudukan majlis agama di bawah naungan Raja-Raja adalah jaminan bahawa dasar yang dirangka lahir daripada institusi yang dihormati rakyat, titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin juga mahu majlis agama mencari kecemerlangan dalam semua usahanya, selain memerlukan iltizam bersama bagi memantapkan perpaduan umat Islam.

Konvensyen dua hari anjuran bersama kerajaan Perlis, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disertai lebih 300 peserta.

Ia susulan Kongres Majlis Agama Islam Negeri seluruh Malaysia kali pertama berlangsung di Kuala Lumpur pada September tahun lalu dengan disertai 1,351 perwakilan.
Dua kertas kerja dibentangkan semalam yang bertajuk Transformasi Pendidikan Teknikal di Malaysia: Pengalaman Universiti Malaysia Perlis yang disampaikan oleh Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Turut dibentangkan ialah kertas kerja bertajuk Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah yang disampaikan bersama oleh Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof Datuk Dr Ismail Ibrahim dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya.

Dua lagi kertas kerja dibentangkan hari ini iaitu Transformasi Pendidikan Islam peringkat kebangsaan oleh Ahli Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, Prof Dr Mohd Yusof Othman dan Penyeragaman Pendidikan Islam: Realiti dan Cabaran oleh bekas Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Wan Abdul Aziz.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs turut berangkat. Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - BERNAMA 


Sumber :  http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2012022806451320120228064513/Article

Kelebihan Syuhada dan Anbia di Barzakh


Sesungguhnya kehidupan di alam barzakh yang hakiki adalah perasaan yang sempurna, pengenalan yang lengkap dan pengetahuan yang benar. - Gambar hiasan


KELEBIHAN hidup alam kubur (barzakh) bagi para nabi akan mudah difahami jika kita merenung tentang kelebihan mereka yang mati syahid. Sudah jelas dalam pelbagai nas yang mereka menerima pelbagai kelebihan di alam tersebut dan bukan hanya sekadar roh yang tidak binasa.
Sekiranya 'hidup di alam kubur' bermaksud roh yang kekal, tidak fana dan tidak binasa, maka tiadalah sebarang keistimewaan bagi para syuhada untuk layak disebut dengan kemuliaan tersebut, kerana ruh semua anak Adam juga adalah baqa' (kekal) iaitu tidak fana dan tidak binasa.
Inilah yang sebenarnya diakui oleh para pentahqiq seperti yang ditegaskan oleh Sheikh Ibnu Qayyim dalam kitabnya al-Ruh.
Maka semestinya, para syuhada itu memiliki keistimewaan yang melebihi manusia biasa. Sekiranya tiada keistimewaan itu, maka sia-sialah kehidupan mereka.
Lebih-lebih lagi, Allah SWT melarang kita mengatakan mereka itu 'orang mati'. Maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (al-Baqarah: 154)
Justeru, apa yang ingin diperkatakan, semestinya kehidupan mereka itu lebih sempurna dan mulia daripada kehidupan manusia biasa.
Inilah yang ditegaskan oleh nas-nas di atas. Hakikatnya, roh-roh golongan itu dikurniakan rezeki. Mereka mendatangi sungai-sungai di dalam syurga dan menikmati buah-buahan yang terdapat di dalamnya.
Ia sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imran: 169)
Seterusnya, segala yang mereka rasai seperti makanan, minuman dan segala bentuk nikmat dapat rasakan dengan rasa yang amat sempurna.
Ada perasaan yang amat puas, kelazatan yang begitu menggiurkan dan keseronokan yang hakiki.
Ia seperti yang dinyatakan di dalam hadis: "Ketika mereka merasai kenikmatan makanan, minuman dan tempat tidur, mereka pun berkata, Alangkah baiknya, kalau saudara-saudara kita tahu apa yang telah Allah kurniakan kepada kita ini." (Ibnu Kathir meriwayatkan daripada Ahmad)
Malahan, roh para syuhada itu memiliki keistimewaan tasarruf (pengurusan dan pentadbiran) yang lebih besar dan luas daripada manusia lain.
Mereka dapat mengembara dan bergerak bebas dalam syurga Allah SWT mengikut kehendaknya. Kemudian mereka menuju ke arah pelita-pelita yang terletak di bawah arasy Allah. Begitulah seperti yang disebut dalam hadis sahih.
Para syuhada dapat mendengar setiap pertuturan dan memahami apa yang diperkatakan kepadanya. Disebut dalam hadis sahih: Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada mereka, apakah yang kalian inginkan?" Maka mereka menjawab: "Ini dan ini. Berterusan soalan dengan disertai jawapannya. Kemudian mereka meminta supaya mereka dikembalikan ke dunia untuk berjihad. Kemudian, mereka memohon lagi supaya Allah menyampaikan daripada mereka suatu risalah (berita) kepada saudara-saudara mereka di dunia yang menceritakan tentang segala kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Maka Allah berfirman: Aku akan menyampaikannya daripada kalian.
Sekiranya perkara itu thabit pada hak syuhada, maka para nabi adalah jauh lebih berhak daripada mereka dalam dua aspek.
Yang pertama ialah kedudukan yang mulia itu dianugerahkan kepada para syuhada sebagai kemuliaan dan penghormatan untuk mereka.
Kita ketahui, tidak ada kedudukan yang lebih tinggi dan mulia daripada kedudukan yang dianugerahi kepada para nabi.
Kita juga tidak meragui, bahawa keadaan para nabi adalah jauh lebih tinggi dan sempurna berbanding keadaan kesemua para syuhada. Maka adalah mustahil sekiranya kesempurnaan nikmat itu hanya dirasai oleh para syuhada dan tidak dikurniakan kepada para nabi.
Lebih-lebih lagi kesempurnaan ini berupa kesempurnaan yang sudah pasti menambahkan taqarrub, pendekatan, nikmat dan kemesraan (al- Uns) mereka dengan Allah Yang Maha Tinggi.
Aspek kedua pula kedudukan yang mulia untuk para syuhada itu adalah sebagai ganjaran terhadap jihad dan pengorbanan mereka semata-mata kerana Allah.
Tetapi, nabi adalah insan yang telah mempelopori sunnah tersebut kepada kita. Bahkan, baginda mengajak dan menunjuki kita kepada jalan tersebut dengan izin Allah SWT dan taufik-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mengajak kepada kebenaran, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya tanpa berkurangan walau sedikit pun dan sesiapa yang mengajak kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa-dosa orang yang mengikutnya tanpa berkurangan walau sedikit pun."
Banyak lagi hadis sahih yang masyhur mengenai hal ini. Justeru, setiap pahala yang dikurniakan kepada para syuhada, dikurniakan juga kepada nabi kerana kebaikan yang dilakukan sama seperti yang pernah dilakukan oleh nabi.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Thursday, 23 February 2012

Diet Tanpa Senam?


Makanan seperti ulam amat baik untuk kesihatan.


HATI-HATI dengan diet yang dilakukan kerana jika tidak berhati-hati, memang berat badan akan turun mendadak tetapi masalah lain pula mungkin timbul.
Jangan tiru pelakon 'Ally Mc Beal', Callista Flockshart, yang melakukan diet melampau sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia.
Bagaimanapun beberapa artis tempatan dilihat dapat mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat sambil mengambil diet sihat selain melakukan aktiviti fizikal.
Antaranya Bob AF, Aizat AF, Imran Ajmain dan penyanyi baru Syah.
Tapi mungkinkah anda akan dapat mengurangkan berat badan dengan hanya mengurangkan pengambilan makanan, mengambil ubatan tertentu tanpa melakukan apa-apa aktiviti fizikal?
Anda mungkin dapat mengurangkan berat badan dengan hanya 'berlapar' tetapi tidak mungkin mendapat bentuk badan yang diidamkan.
Risikonya pula, berat badan anda akan naik mendadak apabila anda kembali makan seperti biasa.
Jangan terperanjat jika anda mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan organ badan dalam tempoh masa beberapa tahun.
Pakar Pemakanan Hospital Pantai Ampang, Norsyamimi Ahmad berkata, program mengurangkan berat badan tanpa senaman amat tidak logik.
"Senaman amat perlu untuk mengeluarkan tenaga daripada makanan jika tidak, ia akan ditukar menjadi lemak," katanya semasa ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun senaman perlu dilengkapi dengan penjagaan makanan bagi memberikan berat badan yang ideal.
Sebenarnya bukan semua orang boleh melakukan senaman terutama bagi mereka yang dikategorikan sebagai morbit obes - jika bacaan Indeks Jisim Berat Badan (BMI) melebihi bacaan 40 (berbanding 19 hingga 25 yang biasa) serta mempunyai masalah kesihatan.
"Kaki pesakit morbit obes tidak mampu menampung berat badan.
"Jadi mereka boleh memulakan dengan diet kalori sangat rendah iaitu hanya mengambil 800 kalori sehari," katanya.
Mereka yang menjalankan diet berkenaan perlu mendapatkan pemantauan berterusan daripada doktor atau pakar pemakanan di wad.
Cara mengurangkan berat badan paling baik adalah dengan menjaga makanan dan melakukan senaman.
"Kita perlu seimbangkan makanan yang kita makan dengan senaman yang dilakukan bagi mendapatkan berat badan ideal," katanya.
Nursyamimi berkata, senaman yang biasa dilakukan seperti berjoging, berjalan kaki semasa membeli-belah yang menyebabkan kadar degupan jantung tinggi selain pengeluaran peluh meningkat.
Selain berjalan, berkebun selama setengah jam boleh membakar sebanyak 100 kalori.
"Bagaimanapun semua aktiviti senaman dan makanan bergantung kepada usia dan berat badan seseorang," katanya.
Apa yang perlu dilakukan adalah memastikan apa yang kita makan.
Bagi diet yang betul, pesakit perlu makan ikut waktu, memilih makanan yang betul dan pastikan kalori yang perlu diambil setiap hari.
Nursyamimi berkata, sarapan pagi tidak boleh ditinggalkan dan pesakit perlu mengambil lebih protein dan fiber seperti telur, ikan dan ayam.
Menu sarapan bagi wanita adalah sebiji telur separuh masak, dua keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat. Manakala bagi lelaki pula adalah sebiji telur separuh masak, tiga hingga empat keping roti berserat, buah-buahan, milo atau susu dengan oat.
Bagi makan tengahari pula, ambil 1/3 nasi, 1/3 ikan, ayam atau daging dan 1/3 sayur-sayuran serta sebiji atau sehiris buah-buahan.
Sementara makan malam lebih kurang sama dengan makan tengahari.
Bagaimanapun diet ini perlu diubah mengikut tahap kesihatan seseorang seperti diabetes, pesakit jantung dan penyakit kronik lain.
"Perlu diingat, pastikan waktu makan setiap hari adalah lebih kurang sama. Bermula dengan sarapan pukul 7 hingga 9 pagi, makan tengahari pada pukul 12.30 hingga 2.30 petang dan makan malam seelok-eloknya empat jam sebelum tidur atau sebelum pukul 8 malam," katanya.
Dr. Nursyamimi berkata, diet tanpa senaman atau dikatakan sebagai 'yo-yo diet' biasanya akan menyebabkan berat badan turun naik mendadak kerana kehilangan otot.
Diet ini menggunakan otot untuk ditukar kepada tenaga kerana otot dua kali lebih berat berbanding lemak.
"Diet sebegini amat tidak digalakkan," katanya.
Mereka yang mengamalkan diet berkenaan mempunyai risiko bertambah berat badan dua kali ganda, kerosakan buah pinggang, haid tidak teratur, mood tidak betul, tekanan darah tidak stabil dan paras gula dalam darah menurun sehingga kadang-kala boleh pengsan.
Biasanya penurunan berat badan yang ideal adalah 10 peratus dalam tempoh enam bulan.
Diet paling popular sekarang adalah pengambilan protein tinggi dan rendah karbohidrat tetapi diet ini tidak boleh diambil berterusan kerana akan memberikan kesan kepada buah pinggang.
"Biasanya ia hanya dilakukan selama 60 hari dan diikuti dengan senaman seperti berenang, berbasikal atau joging mengikut kesesuaian," katanya.
Dalam tujuh seminggu, pastikan lima hari dengan masakan bakar, kukus atau sup sementara hari lain dengan goreng atau bersantan.
Mengenai pusat pelangsingan badan, pil penyerap dan membakar lemak serta teh herba, Nursyamimi berkata, ia hanya akan berkesan jika menjaga pemakanan selain senaman.
Sebenarnya apa yang berlaku hanyalah pembuangan air atau menyerap semua lemak yang ada dalam badan.
"Kadang-kala kita rasa lapar tetapi sebenarnya kita hanya dahaga. Jadi pastikan sama ada kita benar-benar lapar dengan meminum air," katanya.
Beliau menasihatkan mereka yang ingin mengawal berat badan agar menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum bertemu dengan pakar pemakanan bagi mendapatkan diet yang betul.
"Ini kerana diet berlainan bagi individu mengikut tahap kesihatan masing-masing," katanya

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_03.htm

Mendapat Hidayah Ketika Mengarah Filem


Sean Ali Stone berlatar belakangkan pemandangan indah bandar Tehran ketika berada di balkoni sebuah restoran di puncak menara telekomunikasi Milad di Tehran Iran.


PADA tarikh 14 Februari lalu - yang dicanang oleh masyarakat barat sebagai hari khusus untuk diraikan pasangan kekasih - mencatatkan satu kemenangan kepada Islam apabila anak lelaki kepada seorang pengarah filem Hollywood terkenal, Oliver Stone, iaitu Sean Stone, 27, memeluk Islam.
Oliver pernah tercalon sebanyak 11 kali dalam anugerah berprestij Oscar dan memenangi tiga daripadanya.
Anaknya, Sean memeluk Islam di bandar yang masyhur dengan keindahan Islam yang sangat menakjubkan iaitu Isfahan Iran dengan nama barunya iaitu Sean Christopher Ali Stone.
Dia sebenarnya berada di Iran untuk mengarah sebuah filem yang mengisahkan tokoh Islam terkenal yang juga seorang penyair mistik Parsi dari abad ke-13 Masihi, Jalaluddin Ar Rumi.
Harapan dan niatnya ialah tindakan dan keikhlasannya memeluk Islam itu dapat membantu warga barat, khususnya rakyat Amerika Syarikat (AS) supaya lebih memahami soal kepercayaan kepada tuhan dan agama Islam itu sendiri dengan lebih baik.
"Adalah satu kesilapan besar bagi mereka yang mempercayai bahawa Islam itu agama yang bersifat antagonis kepada agama-agama lain, khususnya Yahudi dan Kristian.
"Apa yang kita perlukan hanyalah saling memahami kepercayaan masing-masing dengan lebih banyak mengadakan dialog dan perbincangan secara sihat dan komprehensif," katanya.
Apabila ditanya bagaimana pengislamannya di pihak media di AS, apabila beliau pulang ke negaranya, Ali yakin bahawa tidak banyak kesan akan timbul kerana beliau bukan seorang yang terkenal atau popular.
"Apa yang penting saya dapat membantu rakyat AS untuk memahami akan kebenaran mengenai Islam," katanya.
Salah satu sebab beliau memeluk Islam kata Ali ialah dia berasa begitu tenang dan dapat menikmati suasana keindahan yang tersendiri setiap kali berada di masjid.
Dia percaya bahawa Tuhan itu Esa yang mesti menjadi asas kepercayaan dan kebenaran sesebuah agama itu.
Beliau sebenarnya menaruh minat terhadap Islam sejak di bangku sekolah tinggi walaupun dilahirkan dan dibesarkan oleh bapanya yang beragama Yahudi dan ibunya, Elizabeth Stone seorang Kristian.
"Tidak sahaja kini saya perlu bantu mempromosikan Islam kepada rakyat AS tetapi yang lebih penting juga Islam pasti dapat memberikan sumbangan dalam memperbaiki dalam banyak keadaan yang berlaku di Barat.
"Ini apabila sering tercetusnya pelbagai masalah sosial dan kemanusiaan akibat dunia barat dan AS khususnya terlalu bergantung kepada sistem kapitalis.
"Sistem ini menyebabkan masyarakat barat mengikis dan membuang soal-soal kerohanian sekali gus menyebabkan batin mereka semakin menderita," kata Ali.
Walaupun pada hari ini semakin ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan sistem kapitalis dan liberal melaui pelbagai gerakan dan bantahan, namun ia tidak memberi apa-apa makna.
Ia tidak akan tercapai selagi mereka menafikan peranan agama dan Islam itu sendiri sebagai satu jalan penyelesaian.
Justeru, Ali akan memberikan sumbangan yang lebih bererti dalam bidang seni dan dunia perfileman dengan memperkenalkan kebudayaan dan ketamadunan Parsi kepada barat.
Graduan Pengajian Sejarah dari Universiti Princeton itu sering berkerjasama dengan bapanya dalam menghasilkan filem-filem yang mendapat tempat di hati peminat seperti filem Alexander pada tahun 2004.
Ali turut mengagumi kepimpinan Presiden Iran, Ali Mahmoud Ahmadinejad dan berpendapat kemelut yang dihadapi oleh Iran apabila mendapat tekanan dari barat boleh diatasi dengan Iran beralih pandangan dan tumpuan kepada dunia timur.
"Jangan lagi melihat kepada Barat tetapi beri tumpuan baru kepada rakan kongsi seperti China," katanya yang turut menerima Anugerah Khas dari Kementerian Kebudayaan Iran sempena berakhirnya Festival Filem Antarabangsa Fajr Tehran, baru-baru ini.

Golongan jin yang beriman

Menurut al-Biqaie surah yang lalu menerangkan tentang Nabi Nuh a.s. yang merupakan Rasul Allah yang pertama diutus kepada para penentang dan penyembah berhala.
Mereka menolak ajakan dan seruan sedangkan beliau salah seorang anggota masyarakat. Surah yang lalu diakhiri dengan doa Nabi Nuh a.s. ke atas mereka.
Nabi Muhammad SAW rasul yang terakhir dan kaum baginda mempunyai banyak persamaan dengan kaum Nabi Nuh. Ini disebabkan keagungan al-Quran dan ayat ini mengingatkan hal tersebut sambil mengisyaratkan kecaman kepada masyarakat Arab yang tidak menyambut ajakan beliau dan nabi yang menyampaikannya dari suku bangsa bahkan yang terdekat dengan mereka.
Sheikh Muhammad al-Hindi dalam kitabnya pada majlis yang ketujuh berkata: "Aku telah mengumpulkan ajaran yang dibawa oleh agama Islam dengan ajaran yang dibawa oleh penemuan moden, seperti ucapan mereka. Sesungguhnya setiap ilmu, kebaikan dan keburukan yang berlaku dalam hati itu ditimbulkan oleh roh yang mulia dan roh yang hina. Dalam hadis diungkapkan yang bermaksud di dalam hati itu ada dua kemahuan (kehendak). Kemahuan (kehendak) dari malaikat dan kemahuan (kehendak) dari syaitan.
Firman Allah SWT: Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadamu bahawasanya: Telah mendengarkan sekumpulan jin (akan al-Quran), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami telah mendengarkan al-Quran yang menakjubkan.
Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW memberitahu kepada umatnya, bahawa jin mendengar al-Quran, lalu mereka beriman, membenarkannya serta tunduk kepada Allah SWT."
Menurut Al-Maraghi, Allah SWT mengeluarkan perintah kepada rasul-Nya agar memberitahu kepada para sahabatnya tentang kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana ia mempunyai banyak faedah dan manfaat kepada manusia, antaranya:
* Sebagai makluman bahawa Nabi SAW itu diutus kepada bangsa manusia juga kepada bangsa jin.
* Sebagai makluman bahawa jin itu mendengar pembicaraan dan memahami bahasa kita.
* Sebagai makluman bahawa jin itu dibebankan dengan tanggungjawab (mukalaf) sama seperti manusia.
* Sebagai makluman bahawa jin yang beriman telah berdakwah kepada jin lain dari kabilahnya agar mengaku beriman.
* Supaya kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu asalnya bersikap derhaka ketika mendengar al-Quran dan apabila mengetahui kemukjizatannya jin itu beriman kepadanya.
Secara zahirnya, ayat ini menunjukkan betapa nabi mengetahui para jin yang mendengar wahyu yang diturunkan kepadanya, tetapi bukan melalui kesaksian mata.
Dalam Ensiklopedia Abad XX karya Muhammad Farid Wajdi dinyatakanmakhluk yang bersifat hawa (udara) atau api, berakal dapat dibentuk dan mempunyai kemampuan melaksanakan pekerjaan yang berat.
Sayyid Sabiq seorang ulama Mesir mendefinisi jin sebagai roh berakal, berkehendak, mukalaf (dibebani tugas keagamaan oleh Allah seperti manusia) tetapi tidak berbentuk materi, kasar dan mereka mempunyai kemampuan untuk tampil dalam pelbagai bentuk.
Firman Allah SWT: (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya. Dan kami sekali-kali tidak akan mempersekutukan seseorangpun dengan Tuhan kami.
Menurut Al-Mawardi, ayat itu ada dua pendapat:
* Segala perkara yang mendapat petunjuk.
* Ke arah makrifatullah.
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu jalan yang lurus."
Hamka berkata: "Inilah kesan pertama yang tinggal dalam diri mereka setelah mendengar al-Quran dibaca Nabi. Mula-mula mereka takjub, merasa hairan tercengang mendengar ayat itu dibaca".
Ini kerana isi kandungannya tidak ada jalan membantah dan menolak jika hatinya benar-benar bersih.
Firman Allah SWT: Dan bahawasanya Maha Tinggi kebesaran Tuhan kami, dia tidak beristeri dan tidak (pula) beranak.
Sebenarnya perkataan jaddu dalam ayat ini ada sepuluh tafsiran:
* Urusan tuhan kami seperti pendapat al-Suddi.
* Perbuatan tuhan kami seeperti pendapat Ibn Abbas.
* Peringatan tuhan kami seperti pendapat Mujahid.
* Kekayaan tuhan kami seperti pendapat Ikrimah.
* Ujian tuhan kami seperti pendapat al-Hasan.
* Kerajaan tuhan kami seperti pendapat Abu Ubaidah.
* Kemuliaan dan keagungan tuhan kami seperti pendapat Qatadah.
* Kenikmatan tuhan kami atas makhluk-Nya seperti pendapat al-Dahhak.
* Ketinggian tuhan kami seperti pendapat Sa'id bin Jubair.
* Mereka yang prihatin dengan datuk, iaitu bapa kepada ayah. Ini pendapat daripada ucapan jin kerana kejahilan.
Syed Qutub berkata: "Kata-kata al-jad bererti bahagian, habuan, kedudukan dan martabat iaitu kebesaran dan kekuasaan semuanya merupakan makna-makna yang terpancar dari kata-kata itu dan sesuai dengan tempatnya."
Maksud umum dari makna tersebut adalah mengungkapkan perasaan hati bahawa Allah SWT Yang Maha Tinggi dan Maha Agung yang suci dari mempunyai isteri dan anak-anak sama ada lelaki atau perempuan.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Tuesday, 14 February 2012

Hindari Sambut Hari Kekasih


Umat islam mesti meletakkan kecintaan kepada Allah dan Rasul sebagai cinta ulung berbanding yang lain. - gambar hiasan


SECARA umumnya, budaya adalah apa yang kita lakukan dan amalkan dalam kehidupan seharian. Budaya Melayu-Islam adalah berpaksikan ajaran Islam yang luhur dan murni.
Oleh itu, pemahaman tentang budaya sangat penting kepada golongan remaja pada hari ini. Budaya ikut-ikutan tidak memberi manfaat, malah boleh memesongkan akidah kita.
Sebagai contoh, hari ini iaitu 14 Februari, ada sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai Hari Valentine yang mula dihebohkan melalui media massa.
Sesungguhnya, Hari Kekasih dari cerita dan sejarahnya bukanlah budaya Islam. Ia perlu dihindari dan dijauhi agar remaja kita tidak terikut dengan budaya ikut-ikutan.
Apa yang paling parah budaya ini menular di sekolah-sekolah. Ada segelintir remaja atau pelajar kita terikut-ikut dengan budaya menyambut Hari Kekasih ini dengan memberi hadiah bunga kepada kekasih atau teman di sekolah.
Justeru, ibu bapa dan guru khususnya guru mata pelajaran Islam haruslah memberi penjelasan, pemahaman dan penerangan kepada mereka yang terlibat.
Kita baru sahaja menyambut Maulidul Rasul, iaitu hari kelahiran Nabi SAW. Justeru, bagindalah yang sepatutnya ditanam sebagai kekasih kita umat Islam.
Selain berusaha mendapat belas kasihan daripada Allah SWT iaitu dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Jika diteliti surah al-Fatihah Ayat 1-7 menjelaskan: Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh Alam, Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, pemilik hari pembalasan. Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan. Tunjukkan kami jalan yang lurus, (iaitu) jalan-jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya; bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan pula jalan) mereka yang sesat.
Jalan yang lurus, iaitu jalan yang benar, yang dapat membuat ke arah kebahagiaan di dunia dan akhirat. Mereka yang dimurkai adalah mereka yang sengaja menentang ajaran Islam. Mereka yang sesat adalah mereka yang sengaja mengambil jalan lain selain Islam.
Justeru, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Aku Muhammad dan Ahmad (terpuji), yang dihormati, yang menghimpun manusia, nabi (penyeru) taubat dan nabi (penyebar) rahmat. (riwayat Muslim)."
Berkaitan dengan Hari Kekasih, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 pada 22 hingga 24 November 2005 jelas dengan keras dan tegas mengatakan Hari Kekasih daripada Kristian, wajib dijauhi dan dihindari umat Islam yang boleh meruntuhkan akidah umat Islam.
Peranan ibu bapa dan guru sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak remaja khususnya yang masih bersekolah mestilah menegaskan tentang larangan menyambut Hari Kekasih yang bukan budaya Islam.
Berkaitan dengan hal ini, Nabi SAW menegaskan: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud).
Lantaran itu, berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu yang boleh menyerupai kaum-kaum lain selain daripada Islam.
Pemantapan akidah sangat penting dilakukan sejak seseorang itu masih kecil dan berterusan pada peringkat remaja dan juga dewasa. Kita telah diperingatkan, bahawa barang siapa menimbulkan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) yang bukan dari ajaran-Nya maka akan tertolak.
Adab dan budaya Islam mempunyai keunikan dari segi akidah dan syiar, pemikiran dan emosi, serta akhlak dan keluhurannya. Masyarakat Islam juga mempunyai keunikan dari segi adab dan budaya yang tersendiri yang terbentuk mengikut acuannya serta terpancar dari nilai-nilai tersebut ialah akidah, perkara-perkara yang bersangkutan dengan cabang-cabangnya.
Dalam hal ini, ulama kontemporari, Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradawi menegaskan, kebudayaan, kesopanan dan adat-adat ini telah diwujudkan oleh Islam dalam masyarakat Islam bertujuan untuk menjadikannya berkhidmat kepada akidah, syiar, pemahaman, emosi, akhlak dan tatasusila Islam.
Justeru, sebagai remaja Islam hindari daripada budaya ikut-ikutan seperti merayakan Hari Kekasih yang boleh menyesatkan dan memesongkan akidah.
Masyarakat Islam mempunyai adab serta budayanya dalam seluruh kehidupan yang murni bertunjangkan akidah Islam.
Peranan ibu bapa dan guru sangat penting dalam mendidik anak-anak dan para pelajar. Mereka seharusnya memberikan petunjuk agar anak-anak serta para pelajar tidak tersesat dan mengikut jalan yang boleh membawa kesesatan.
Melalui pemahaman, penerangan dan bimbingan yang berhikmah kepada mereka, sehingga nasihat atau hidayah tersebut masuk ke dalam hati mereka.

Tingkatkan Aktiviti Syiar Islam

SEREMBAN 13 Feb. - Pihak pengurusan masjid di negeri ini disarankan supaya meningkatkan aktiviti dalam usaha meningkatkan syiar Islam sekali gus mengeratkan perpaduan di kalangan ummah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, inisiatif tersebut selari dengan fungsi serta peranan masjid yang merupakan 'jambatan' memperkukuhkan perpaduan serta akidah umat Islam.
''Saya mahu lebih banyak program dijalankan di masjid serta surau di seluruh negeri ini kerana ia mampu mengeratkan hubungan antara penduduk terutamanya umat Islam.
''Usaha ini juga membolehkan kita terus memperkukuhkan akidah umat Islam kerana kini ada pihak yang cuba mengikis serta memesongkan akidah umat Islam," katanya.
Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Masjid Negeri Sembilan di Hotel Royale Bintang di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) turut menyasarkan agar setiap perkampungan Orang Asli di seluruh negeri ini mempunyai sekurang-kurangnya sebuah surau menjelang 2015.
''Bukan itu sahaja, saya mahu setiap kampung ini mempunyai guru agama bertauliah yang menetap dan mampu menyampaikan dakwah dalam bahasa mereka.
''Ini kerana sebelum ini, kita ada hantar pegawai agama tetapi mereka hanya masuk ke kampung tersebut dua tiga bulan sekali," ujarnya.
Menurut Mohamad, sehingga kini, terdapat lebih 286 buah masjid dan lebih 1,000 surau di seluruh negeri ini.

Asri: Hari Suami Isteri Tak Perlu


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM – Tiada guna menukar nama sambutan Hari Kekasih kepada Hari Suami Isteri, jika ia tidak memberi kesan yang baik kepada budaya umat Islam.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, penukaran nama itu tidak penting. Yang utama adalah pengisian sambutan tersebut.

“Kalau kita ubah nama itu boleh memberi perubahan baik kepada Islam, baguslah, tetapi jika tidak memberi apa-apa kesan, untuk apa diubah?,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Hari Suami Isteri boleh diraikan pada bila-bila masa dan nilai budaya Islam perlu dipertahankan.

Katanya, tarikh 14 Februari itu semakin menjadi ingatan ramai, apabila dimeriahkan oleh peniaga.

“Mereka ambil kesempatan menjual bunga dan cenderahati di merata tempat,” katanya.

Pensyarah Bahagian Pengajian Islam, Universiti Sains Malaysia itu berkata, tarikh itu tidak memberi apa-apa makna jika hari itu disambut dengan perbuatan yang tidak bermoral.

Minggu lalu, Pas Kelantan mencadangkan Hari Kekasih yang disambut setiap 14 Februari, diganti kepada sambutan Hari Suami Isteri sebagai acara tahunan.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah lebih elok jika Hari Kekasih atau Valentine Day, yang dipuja dan diilhamkan pengikut agama Kristian, diganti dengan sambutan Hari Suami Isteri untuk melahirkan keluarga bahagia mengikut acuan Islam.

Sementara itu, penceramah bebas, yang juga Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional, Dr Ridhuan Tee Abdullah berkata, adalah lebih baik mengembangkan budaya sendiri daripada menyanjung budaya orang lain.

“Cadangan Hari Suami Isteri itu baik, cuma tarikh 14 Februari itu dirasakan tidak sesuai kerana pada tarikh tersebut sudah ada sambutan diraikan oleh penganut agama lain yang sememangnya haram diraikan umat Islam.

“Kenapa kita perlu obses dengan budaya orang lain, sedangkan kita boleh pilih hari lain, yang mana memberi lebih banyak makna kepada umat Islam?,” katanya.