Laman Utama

Sunday, 29 January 2012

Mempercepat Kematian Tanpa Sah Pakar Haram

Muzakarah putuskan 'eutanasia' atau 'mercy killing' menyamai perbuatan membunuh

MUZAKARAH Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-97 yang bersidang pada 15-17 Disember 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Eutanasia atau Mercy Killing.

Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut: Setelah mendengar taklimat dan penjelasan pakar serta meneliti keterangan, hujah dan pandangan yang dikemukakan, muzakarah berpandangan bahawa menghentikan hayat hidup seseorang sebelum dia disahkan mati dengan menggunakan apa-apa cara dan bersandarkan kepada apa-apa alasan adalah haram dan dilarang oleh Islam.
Sehubungan itu, muzakarah memutuskan bahawa perbuatan mempercepatkan kematian melalui amalan eutanasia (sama ada Eutanasia Voluntary, Non-Voluntary atau Involuntary) atau mercy killing adalah haram menurut Islam kerana ia menyamai perbuatan membunuh dan ia juga bertentangan dengan Etika Perubatan di Malaysia.
Keputusan ini selaras firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja...” (Surah an-Nisa’, ayat 92).

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh an-Nasa’ie yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu mengharapkan kematian, jika seseorang itu baik, boleh jadi ia menambahkan kebaikan dan jika seseorang itu berbuat dosa boleh jadi dia bertaubat (dan mengharap reda Allah)."

Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa jantung atau otak pesakit telah berhenti berfungsi secara hakiki dan pesakit disahkan tidak ada lagi harapan untuk hidup dan hanya bergantung kepada bantuan sokongan pernafasan, muzakarah memutuskan tindakan memberhentikan alat bantuan sokongan pernafasan adalah dibenarkan oleh Islam kerana pesakit telah disahkan mati oleh pakar perubatan dan sebarang rawatan tidak lagi diperlukan.

Begitu juga, dalam kes di mana pakar perubatan telah mengesahkan bahawa pesakit tiada harapan untuk sembuh dan pesakit telah dibenarkan pulang, maka tindakan memberhentikan rawatan utama dan hanya rawatan sokongan (conventional treatment) diteruskan adalah dibenarkan oleh Islam kerana keadaan seumpama ini tidak termasuk dalam amalan eutanasia atau mercy killing yang diharamkan.
Sehubungan itu selaras dengan kaedah fiqh iaitu ‘dalam keadaan darurat, setiap perkara yang ditegah dibolehkan’, amalan Eutanasia Indirect atau Double-Effect Medication boleh dilaksanakan menurut pandangan syarak bagi memastikan kesengsaraan dihadapi pesakit dapat dikawal dan pelaksanaannya tidak langsung bertujuan untuk mempercepatkan kematian.

Muzakarah juga memutuskan bahawa dalam kaedah perubatan, mati otak (brain death) adalah dianggap sebagai suatu kematian dan apabila kematian itu disahkan oleh pakar, maka akan sabit semua hukum berkaitan kematian yang ditetapkan oleh syarak.

Jadi, harus memberhentikan rawatan bantuan sokongan (contohnya penggunaan mesin ventilator) dengan persetujuan waris terdekat selepas disahkan oleh dua orang pakar perubatan yang tidak terbabit dalam urusan pendermaan organ.

Situasi dihadapi khususnya kepada keluarga pesakit yang berdepan dengan keadaan di mana mereka perlu membuat pilihan selepas mendapatkan nasihat pakar dan yang arif bidang hukum, ada kalanya memang menyukarkan. Perasaan sayang menyebabkan mereka masih mengharapkan keajaiban sementara hakikat realiti menuntut mereka membuat keputusan yang rasanya tidak adil kepada pesakit sendiri.

Memang sukar apabila berdepan keadaan begini kerana sebagai manusia kita tiada hak menentukan hidup mati orang lain tetapi jika diuji dengan permasalahan begini, bagaimana agaknya keputusan bakal kita buat. Sebab itu kefahaman perlu dan caranya, mendapatkan nasihat mereka yang benar-benar pakar mengenai hukum serta bidang perubatan.

Dalam al-Quran dinyatakan bahawa penentuan hidup dan mati seseorang itu adalah kuasa Allah SWT seperti firmanNya dalam Surah Yunus, ayat 49, yang bermaksud: “dan apabila telah sampai ajalnya, maka tidak akan dilewat dan tidak akan dipercepatkan walau sesaat pun.”

Manakala firmanNya dalam Surah al-Kahf, ayat 84 pula menyeru supaya manusia melakukan ikhtiar dan kemudian bertawakal, seperti mana maksudnya: “dan Kami beri kepadanya jalan yang menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.”

Di sebalik permasalahan untuk membuat keputusan sukar ini, sebenarnya saya tertarik untuk membangkitkan perkara yang mungkin ada antara kita lupa lakukan kerana tertekan dengan kenyataan perlu dihadapi iaitu memberi nasihat serta dorongan kepada pesakit supaya terus mengingati Allah dan bertawakal kepadanya.

Selalunya, kita akan runsing memikirkan apa yang bakal berlaku hingga terlupa untuk membisikkan di telinga pesakit nasihat supaya terus mengucapkan syahadah serta berzikir kepada Allah kerana ingatan itu sedikit sebanyak boleh membantu pesakit yang berdepan dengan pelbagai kemungkinan, dengan izin Allah mereka kembali sembuh atau atas kehendak Allah, mereka kembali kepada Yang Maha Mencipta.

Secara tidak langsung, kita yang sedang membantu pesakit menghadapi keadaan kritikal turut membantu diri sendiri dengan menyerahkan keadaan kepada Yang Maha Kuasa, dan apa juga natijahnya nanti, kita dapat terima dengan reda kerana sedar semua itu ketentuan Allah.

Ketika kita sibuk berusaha menyelamatkan pesakit menggunakan peralatan canggih dan moden, perlu ada kakitangan hospital yang ditugaskan untuk menenangkan pesakit dengan memberi nasihat serta membantu mereka terus mengingat Allah dan bertawakal kepada-Nya.

Ini kerana selalunya kita terlupa bahawa peringatan seperti itu juga dapat membantu menenangkan pesakit.

Peringatan itu bukan kepada pesakit yang sedang nazak saja, juga perlu dititikberatkan kepada mereka yang bakal menjalani pembedahan atau ibu dalam proses melahirkan bayi. Mengingati Allah dengan zikir atau selawat kepada Nabi Muhammad S.A.W, boleh memberi ketenangan dan dalam banyak kes meningkatkan keyakinan serta kekuatan kepada pesakit.

Tindakan ini nampak remeh tetapi seperti dijelaskan kepada kita, apabila dekat dengan Allah, yakinlah Allah dekat dengan kita. Dan apabila kita yakin Allah amat dekat, maka hilang segala rasa resah gelisah dan hadirlah keyakinan Allah tidak akan menghampakan hamba-Nya. Allah tempat mengadu kita untuk meluahkan segala-galanya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya dan Kami lebih dekat dari pada urat lehernya." (Surah Al Qaf, ayat 16) Sama-samalah kita fikirkan. 

Oleh Ashraf Muslim


Membudaya Selawat Dalam Kehidupan Harian

UMAT Nabi Muhammad SAW sewajibnya mencintai Baginda melebihi daripada segala-galanya hatta terhadap diri sendiri. Ini seperti mana kisah Baginda SAW dengan sahabatnya Umar al-Khattab yang begitu jelas memberi pengajaran berguna buat kita umat di akhir zaman ini.

Dikisahkan, suatu hari Umar al-Khattab mengatakan rasa cinta dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW, namun selepas mendengar yang Umar mencintai dirinya terdahulu maka Rasulullah SAW membetulkannya semula.
Kata Nabi SAW: “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sehingga kamu mencintai aku lebih daripada dirimu sendiri. Kemudian Umar pun mengatakan: Sesungguhnya sekarang engkaulah yang aku cintai lebih daripada diriku sendiri. Lalu Nabi SAW pun berkata lagi kepadanya: Sekarang wahai Umar.” (Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan kisah antara Rasulullah SAW dan Umar itu menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hati kita mencintai sebulat-bulatnya terhadap Baginda. Banyak cara yang membolehkan menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Antaranya melalui bacaan selawat, amalan ringan dan semua mampu buat namun mengandungi banyak pahala di sisi Allah kerana menerusi bacaan selawat melambangkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat seseorang terhadap Baginda.

Allah dengan tegas ada mengatakan: “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW sangat gembira apabila umatnya sering membaca selawat ke atas Baginda. Hal ini dijelaskan Abdul Rahman bin Auf, katanya, Rasulullah SAW keluar lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma.
Lalu Baginda sujud dalam masa agak lama sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda. Abdul Rahman meneruskan riwayatnya: “Maka aku datang melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya seraya bertanya, kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman? Lalu akupun menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda.

Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku, hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Allah berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu, maka Aku memberi salam ke atasnya.”

Cerita ini ada hubung kait dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Demikian hebatnya fadilat selawat yang akan diperoleh kita yang menjadikan amalan membacanya sebagai jadual harian dan pada setiap ketika. Justeru, kita perlu mendidik anak, isteri dan ahli keluarga membudayakan amalan berselawat sebagai amalan wajib buat setiap hari.

Seperkara lagi perlu diingatkan, jangan setakat rajin berselawat tetapi akhlak zahir dan akhlak batin jauh daripada apa yang diperintahkan Nabi SAW. Mulut berbudaya selawat, tetapi tangan dan kaki mencari hasil kerja yang haram?

Jika beginilah, maka tiada makna selawat yang kita baca, malah kita semakin jauh daripada Baginda kerana melakukan perkara yang dibenci. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW maka laksanakan apa disuruh dan menjauhi yang ditegah sebagai penzahiran rasa cinta itu.

Alangkah beruntungnya seseorang yang rajin berselawat dan memiliki akhlak terpuji seperti diperturunkan Rasulullah SAW. Kita mesti selarikan antara amalan membaca selawat dengan amalan zahir batin. Wujudnya kesepaduan jitu antara kedua-duanya akan menjadi pencetus kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Selain selawat, amalan ibadah sunat lain juga tidak seharusnya dijadikan amalan bermusim atau bersifat berkala. Tiba Maulidur Rasul, maka teringatlah untuk menggiatkan bacaan selawat tetapi selepas habis Maulidur Rasul, sehari ke sehari amalan itu terhakis daripada sanubari.

Seandainya situasi begini yang berlaku bermakna kecintaan terhadap Rasulullah belum mampu kita buktikan secara jujur.

Bagi ibu bapa, didiklah anak mencintai Rasulullah SAW seawal usia dengan membiasakan alunan bacaan selawat sebagai halwa telinga mereka yang akan menjadi asas kepada pembangunan rohani anak.

Imam al-Ghazali melalui karya teragungnya, Ihya Ulumuddin berpesan: “Ketahuilah apa-apa yang kami sebut dalam menjelaskan akidah seharusnya diberikan kepada anak pada awal perkembangannya supaya mereka dapat benar-benar menghafaz sehingga dewasa nanti terungkap maknanya sedikit demi sedikit.” 

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


Thursday, 19 January 2012

Arah Cabut Logo Halal Tidak Diiktiraf Jakim



Seorang pekerja sebuah restoran di dalam sebuah pasar raya di Seremban 2 menanggalkan logo halal yang tidak diiktiraf selepas premis itu diperiksa pihak berkuasa kelmarin.


SEREMBAN 19 Jan. - Sebanyak lima premis makanan di pusat beli-belah di Seremban 2 di sini diarah mencabut logo halal yang dipamerkan di premis mereka kerana tidak diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) semalam.
Arahan tersebut dikeluarkan selepas premis berkenaan diperiksa oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jakim dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri.
Pengarah JHEAINS, Johani Hassan berkata, kesemua premis yang diperiksa itu didapati menggunakan logo halal swasta dan tidak diiktiraf oleh Jakim.
Menurutnya, notis amaran telah dikeluarkan kepada pengusaha terbabit supaya tidak lagi menggunakan logo halal terbabit.
"Kami menjelaskan kepada pengusaha terbabit tentang kesalahan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf kerana menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 yang baru dikuatkuasakan.
"Kami juga telah menasihati mereka supaya memohon logo halal Jakim dan memberi amaran tegas sekiranya mereka masih ingkar dengan menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf," katanya di sini hari ini.
Katanya, dalam pemeriksaan itu semua pengusaha premis makanan terbabit memberi kerjasama yang baik dan mereka berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
"Buat masa ini kami masih lagi dalam proses mendidik pengusaha premis makanan berhubung pentingnya memohon sijil halal Jakim dan memberitahu mereka tentang undang-undang baru ini.
"Kami akan mengambil tindakan tegas selepas berasakan sudah cukup masa diberikan kepada mereka ini termasuk mengheret pengusaha yang degil ke mahkamah," jelasnya.

Peluk Islam Bukan Jadi Melayu


Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menyampaikan cenderamata kepada saudara baru, Nur Rasyikah Ooi Abdullah selepas melafazkan kalimah syahadah pada majlis perasmian Kompleks Al Saadah di Rahang, dekat Seremban, semalam.


SEREMBAN 19 Jan. - Usaha berdakwah yang dilakukan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bukan bertujuan memecah-belahkan keharmonian keluarga mereka yang memeluk Islam.
Kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, memeluk Islam bukannya bermaksud mereka yang terlibat menjadi Melayu dan hubungan dengan keluarga putus.
"Mereka tetap kekal meneruskan kehidupan dengan nama, bahasa dan budaya masing-masing selagi tidak bercanggah dengan Islam," katanya dalam ucapan sempena pelancaran kompleks untuk golongan mualaf, Kompleks Al Saadah di Rahang dekat sini hari ini.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan melancarkan kompleks itu. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Mohamad turut menjelaskan, dengan wujudnya kompleks berkenaan ia diharap dapat menjadi pusat kecemerlangan saudara baru di negeri ini sebagaimana cemerlangnya penyebaran Islam di negara China suatu ketika dahulu.
"Ini merupakan julung kali satu kompleks khusus bagi keperluan golongan mualaf dibina dalam skala besar di bawah peruntukan Program Pembangunan Hartanah Wakaf Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dilaksanakan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dan dibiayai bersama melalui peruntukan Dana Zakat MAINS," jelas Mohamad.
Katanya, sebanyak RM7.7 juta diperuntukkan untuk projek ini di mana RM4.5 juta adalah dari peruntukan di bawah RMK-9 yang disalurkan melalui Jawhar manakala RM3.2 juta daripada peruntukan MAINS.
Mengenai isu murtad pula, Mohamad menjelaskan, di negeri ini ia tidak begitu kritikal sebagaimana dilaporkan.
"Jumlah permohonan yang tinggi disebabkan negeri ini merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan penentuan status agama dan sebab itu semua kes didaftar dan direkodkan.
"Sebenarnya jumlah yang berjaya dipulih dan diberi kaunseling jauh lebih ramai daripada jumlah permohonan yang diterima, manakala Unit Rundingcara Akidah di Jabatan Mufti negeri telah ditubuhkan sejak 2002 lagi bagi mengatasi masalah ini," tegasnya.
Kompleks Al Saadah dibina menggunakan reka bentuk bangunan Cina dan kini menjadi pusat agama bagi golongan mualaf yang berjumlah hampir 2,000 orang dengan dua persatuan saudara baru beroperasi di situ iaitu Muslim Revert Association (MRA) dan Persatuan Cina Muslim Malaysia cawangan negeri ini.

Serambi Masjid: As-Salam Pusat Ilmu

MASJID AS SALAM...gerbang ilmu kepada penduduk kawasan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.
MASJID AS SALAM...gerbang ilmu kepada penduduk kawasan Bukit Sentosa, Hulu Selangor.


PADA asalnya Taman Perumahan Teratai, di Hulu Selangor hanya mempunyai surau bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu.
Bagaimanapun, sejak peningkatan bilangan penduduk sekitar tahun 2000, surau terbabit terpaksa dinaik taraf kepada masjid.
Ia dinamakan Masjid As-Salam, Bukit Sentosa, Selangor.

Nazirnya, Abu Bakar Yang, berkata pihaknya merancang pelbagai kegiatan bertujuan meningkatkan taraf masjid itu sebagai pusat ilmu bertaraf dunia terutamanya memberi pengukuhan kepada ceramah serta kuliah agama daripada tokoh ulama tersohor.

“Antara aktiviti yang dilakukan setakat ini ialah program kebangsaan ‘Tafaqquh Fiddin’ dipimpin ulama besar dari Indonesia, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu.

“Program setiap Sabtu dan Ahad pada awal bulan itu diadakan dua kali sebulan dengan mengenakan bayaran RM10 kepada setiap peserta,” katanya.

Beliau berkata bagi golongan dewasa yang berminat mendalami bahasa Arab secara intensif, pihak masjid turut memperkenalkan pengajian pada peringkat sijil.

“Ia adalah kerjasama yang dijalankan bersama Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Program ini adalah lanjutan daripada program Sijil Pengajian Usuluddin dan Syariah anjuran Universiti Malaya (UM) dan Jais dengan kumpulan pelajar pertamanya menerima sijil masing-masing dari Pusat Akademi Islam, Universiti Malaya,” katanya.

Abu Bakar berkata, masjid itu menubuhkan kelas pengajian agama Fardu Ain (Kafa) bagi murid tingkatan satu yang bersekolah sebelah petang sejak tahun lalu.

“Di sebabkan pelajar ini bersekolah sesi petang, masa tidak terbuang begitu saja kerana mereka berpeluang belajar serta mempertingkatkan ilmu agama di masjid di sebelah pagi.

“Setakat ini, seramai 40 pelajar mendaftar. Mereka dibimbing beberapa guru termasuk dari Darul Quran (DQ) dan Unisel,” katanya.

Menurutnya, bagi pengurusan jenazah golongan kurang berkemampuan seperti fakir miskin dan mualaf, kosnya ditanggung pihak masjid.

“Bagi ahli kariah yang mendaftar dengan badan khairat kematian di masjid ini, mereka turut diberi kemudahan menyempurnakan pengurusan jenazah dengan bayaran paling minimum.

“Kita menawarkan perkhidmatan penghantaran jenazah ke kampung halaman atas permintaan waris si mati, “katanya.

Teks dan gambar Abdul Jalil Ishak

Minda: Momokan Palsu Dunia Mistik

KITA beriman dengan ayat 56 dalam surah al-Zariyyat bahawa diciptakan al-jin dan manusia itu melainkan untuk menyembah (beribadat kepada Allah). Bagaimanapun, jika dilihat kebelakangan ini, kebanjiran filem hantu, pocong, toyol dan khurafat lain jelas banyak bercanggah dengan kefahaman apa yang dibincangkan dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Masyarakat dimomokkan dengan maklumat bohong seolah-olah agama ini berada di tangan prosedur dan pengarah filem. Orang Melayu dihidangkan dengan filem seram yang tidak bertanggungjawab seterusnya menjadikan mentaliti dan fikiran masyarakat Melayu terpesong dan terlalu obses dengan benda mistik dan ghaib, hatta apa jua kemudaratan yang datang, apa jua penyakit, musibah dikaitkan dengan jin, syaitan dan hantu.
Istilah yang digunakan seperti hantu raya, pocong dan toyol sebenarnya hanya melalui kewujudan daripada rumpun yang sama iaitu jin.

Menjadi lumrah bagi manusia zaman sekarang, terutama Melayu yang terlalu obses dengan hantu dan jembalang atau lembaga walaupun manusia sudah menjejaki bulan.

Penulis amat berharap sentiasa berfikiran positif dan mempunyai akidah yang kuat dalam berinteraksi dengan isu sebegini. Kita sebagai masyarakat berwawasan dan maju perlu rasional dan matang dalam memutuskan sesuatu perkara. Jangan hanya terburu membuat rumusan tanpa merujuk kepada sumber yang yakin bagi mengelakkan berlakunya ketidakfahaman sesama sendiri.

Sebagai contoh ada sebuah filem yang membawa cerita kemampuan manusia dengan mudah melihat makhluk yang bernama jin ini. Sumber manakah yang mereka rujuk dalam menghasilkan skrip dan jalan cerita ini? Kemudian diwujudkan pula bomoh, dukun atau ustaz yang dengan bangganya mengaku mampu melihat makhluk Allah ini dengan mata kasar? Adakah ini suatu pembohongan untuk memperdayakan manusia demi mencapai keinginan nafsu mereka?

Malah, jika dirujuk pada sirah Rasulullah s.a.w, amatlah janggal Rasulullah melihat iblis atau syaitan (bukan hantu) dengan zat (jisim dan jasadnya) sendiri, mahupun jin. Ini walaupun baginda mempunyai keistimewaan untuk melihat mereka.

Malah, amat jarang sekali riwayat menemukan Rasulullah dapat melihat jin dengan zatnya yang tersendiri. Jika lihat kebanyakan kefahaman masyarakat Melayu sama sekali banyak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.aw.

“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat ditipu oleh syaitan sebagaimana ia mengeluarkan ibu bapamu dari syurga, ia menanggalkan pakaian kedua-duanya untuk memperlihatkan aurat mereka. Sesungguhnya ia dan pengikutnya melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak boleh melihat mereka (jin). Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan itu pemimpin bagi orang yang tidak beriman.” (Al A’raaf: 27)

Diketahui umum bahawa jin adalah daripada bangsa yang besar. Merujuk pada al-Quran, jelas iblis juga bangsa daripada jin. Allah berfirman “Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam,” maka sujudlah mereka kecuali iblis. Dia adalah daripada golongan jin, maka ia menderhaka perintah Tuhannya. Patutkah kamu mengambil dia dan keturunannya sebagai pemimpin selain daripadaKu, sedang mereka adalah musuhmu? Amat buruklah iblis itu sebagai pengganti (dari Allah) bagi orang yang zalim.” (Al Kahfi:50)

Penulis secara peribadi mengaku wujudnya jin dan syaitan kerana mereka dirasuk. Ini berdasarkan ayat al-Quran yang berbunyi: “Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila.” (Al Baqarah:275)
Oleh itu, penulis berharap agar masyarakat tidak terlalu obses dan taksub dengan benda seperti ini dan jangan terlalu takut kepada makhluk ini kerana ia membuatkan mereka lebih bongkak dan angkuh.

Selain itu, ketakutan yang melampau hanya akan membawa manusia kepada syirik kepada Allah s.w.t.

Beberapa contoh yang penulis dapat memberi gambaran asas mengenai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar berdasarkan riwayat daripada hadis Rasulullah:

Jin adalah makhluk yang benar-benar wujud seperti ditegaskan dalam al-Quran, khususnya dalam surah al-Jin dan kisah Nabi Sulaiman a.s yang memindahkan istana Balqis dengan pertolongan Jin Ifrit. Beberapa hadis sahih juga menjelaskan kekuasaan jin. Mereka ini terbahagi dalam berbagai kumpulan.

Dalam hadis riwayat Abi Tsa’labah Al-Khushani Rasulullah s.a.w menjelaskan bahawa jin ada tiga kumpulan iaitu:

  • Ada yang mempunyai sayap dan boleh terbang

  • Ada yang menyerupai ular anjing atau binatang berbisa

  • Boleh berjalan dan bergerak (seperti manusia).

    (H.R Tabrani dengan Sanad Hasan dan Hakim juga mengatakan riwayat ini sahih)
    Dalam riwayat Abu Darda’, Rasulullah s.aw bersabda: “Allah menciptakan jin dalam tiga golongan, pertama sejenis ular dan kala jengking dan haiwan melata bumi, golongan kedua seperti angin di angkasa dan golongan ketiga seperti manusia mereka mendapatkan pahala dan hukuman” (H.R. Ibnu Abi Dunya)
    Terkadang jin juga boleh mencederakan manusia seperti dalam hadis Muslim yang maksudnya: “Rasulullah melarang budak keluar selepas Maghrib sampai Isyak kerana ketika itu syaitan atau jin banyak berkeliaran.”

    Riwayat Abu Lubabah pula menyebabut Rasulullah s.a.w melarang membunuh ular yang masuk ke dalam rumah kecuali yang tumpul ekornya dan yang ada dua noktah putih di atas tubuhnya kerana ini yang menyebabkan mata buta dan menyebabkan keguguran wanita hamil. (H.R. Bukhari Muslim)

    Jin juga kadangkala mencuri seperti pernah terjadi pada zaman sahabat, Abu Hurairah menangkap mereka menyerupai pencuri yang ingin mencuri harta zakat dan sedekah ketika diberitahu kepada Rasulullah, baginda mengatakan itu jin.

    Manusia juga boleh berkomunikasi dengan jin seperti dalam berapa hadis sahih Rasulullah berbicara kepada jin, pergi bersama jin dan membacakan kepada mereka ayat suci al-Quran lalu mereka meminta bekal kemudian Rasulullah memberitahu mereka untuk mengambil tulang (dari haiwan yang disembelih dengan menyebut nama Allah) dan kotoran haiwan, maka Rasulullah melarang beristinjak dengan tulang dan kotoran haiwan yang kering kerana kedua-duanya adalah makanan saudara kita.” (H.R. Muslim dan Tirmidzi)

    Kesimpulan, penulis menasihati pelbagai golongan baik masyarakat awam, pembikin filem, mahupun pendakwah agar tidak sesuka hati menggambarkan makhluk Allah jin ini mengikut hawa nafsu mereka tanpa merujuk kepada al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

    Penulis juga ingin menyatakan tidak semua yang bergelar jin itu jahat. Kalau tidak masakan ada perintah untuk menyembah Allah.

    Begitu juga dengan ungkapan karut yang kita pernah dengar apabila penceramah motivasi atau ustaz yang tidak peka dan teliti akan ketulenan agama dengan tanpa segan silu mengucapkan ‘sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia’ adalah tanggapan yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi ia bercanggah dengan ayat Allah: “Dan sesungguhnya di antara kami (jin) ada orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza beza.” (Al Jin:11)

    Penulis berkelulusan dalam bidang hadis di Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia

  • Oleh Ahmad Fauzan Yahaya

  • Wednesday, 18 January 2012

    Masjid Jadi Penggerak

    Oleh Mohd Amin Jalil
    SEREMBAN: Hasrat kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) untuk menjadikan masjid sebagai pusat penggerak kemajuan umat Islam dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi terserlah apabila Masjid Taman Panchor Jaya, dekat sini, menjadi perintis melalui pembukaan kedai serbaguna Wakaf Mart.
    Bangunan kedai yang dibina bersebelahan dengan masjid itu mula beroperasi sejak 27 April 2010 dan kini mendapat sambutan baik bukan saja dari kalangan penduduk Islam taman berkenaan, malah orang bukan Islam.

    Ia berikutan premis itu bukan saja menjual pelbagai barangan keperluan harian penduduk, malah menawarkan harga barangan lebih murah berbanding premis lain iaitu antara lapan hingga 10 peratus termasuk barangan 1Malaysia.
    Pengurusnya, Abdul Majid Hassan, 52, berkata, kedai itu kini diuruskan Koperasi Masjid Kariah Panchor Jaya Seremban Berhad (KMKPJSB) dan keuntungannya dibahagikan kepada tiga bahagian.

    Menurut beliau, koperasi hanya mengambil sebanyak 30 peratus daripada keuntungan, manakala 40 peratus diberikan kepada Yayasan Waqaf Malaysia dan 30 peratus lagi disumbangkan kepada masjid Taman Panchor Jaya.

    “Pembahagian ini dibuat kerana pembinaan kedai ini hasil kerjasama Mains, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) dan Yayasan Waqaf Malaysia,” katanya.

    Ayesha Berdakwah Kepada Wanita Korea


    Peranan Ayesha Kim (kiri) kepada siswi-siswi di negara Korea bukan sekadar berdakwah tetapi menjadi tempat rujukan, khasnya yang berjinak-jinak dengan Islam.


    DARIPADA namanya sahaja, orang sudah mengetahui asal wanita ini. Penggunaan nama Kim menjelaskan akan identitinya sebagai orang Korea. Sebab itu dia sengaja tidak membuangkan nama Kim walaupun telah memilih nama Ayesha sebaik bergelar Muslim.
    Kini, Ayesha Kim umpama sinar atau cahaya keyakinan kepada wanita-wanita Korea, khasnya para siswi di negara itu. Dia membimbing mereka menuju jalan kebenaran.
    Malah dia juga aktif menyampaikan ceramah dari kampus ke kampus. Ayesha memilih pendekatan logik dalam mengajar Islam.
    Menurut Ayesha, hidayah Ilahi datang kepada suami terlebih dahulu. Imam Mahdevoon yang sekarang ini Pengerusi Kesatuan Muslim di Korea Selatan. Mereka berdua berazam akan sentiasa bersama merentasi jalan kebenaran.
    Ayesha mampu menemui kebenaran di tengah-tengah peperangan yang membadai saat dia memilih Islam sebagai pegangan agamanya. Malah dia mengambil nama isteri junjungan Nabi Muhammad SAW sebagai nama Islamnya dengan harapan nama tersebut akan membawa sumber kekuatan dan rahmat.
    Bila ditanya penglibatan awalnya dalam Islam, Ayesha diam seketika dan memejamkan mata seolah-olah sedang mencari sesuatu yang tersembunyi jauh di lubuk hatinya.
    Beberapa minit kemudian terpacul kata-kata: "Saya mencari ketenangan dalam hidup. Kebenaran suara hatilah yang telah mendorong dan menyakinkan saya bahawa mesti ada satu cara untuk mencapai kebenaran."
    Pada masa yang sama Perang Korea meletus dan memaksanya berpindah jauh ke pelabuhan Pusan. Ayesha semakin merenung dalam-dalam akan makna sebenar kehidupan.
    "Akhirnya saya bersetuju memeluk Islam di hadapan suami setelah melihat Islamlah satu-satunya benteng atau kubu yang akan menyelamatkan diri kita sendiri serta masyarakat," akui Ayesha.
    Perihal penglibatan Ayesha dalam dunia dakwah, ia tidak dapat lari daripada Omar Kim, yang memeluk Islam pada tahun 1950-an.
    "Sebelum Omar meninggal, dia pernah berpesan atau lebih tepat mendesak kami agar menyebarkan mesej Islam dan mengundang lebih ramai warga Korea untuk menerima Islam," jelas Ayesha.
    Selepas perang tamat, amanat Omar Kim diteruskan oleh Ayesha. Beliau pergi menemui keluarga mangsa-mangsa perang memberikan semangat kepada mereka.
    Ada antara mereka yang menerima Islam dan tidak kurang juga yang masih tetap dengan agama lama. Pun begitu, hubungan silaturahim antara mereka tetap teguh bertahun-tahun kemudian.
    Setelah itu, dakwahnya ditumpukan kepada dua orang anaknya. Akui Ayesha, dia memahami kesulitan mereka.
    "Namun saya yakin, bahawa kebenaran akan berbicara tanpa perlu saya memaksa mereka," jelasnya.
    Ia ditujukan kepada anak sulungnya yang menolak segala bentuk campur tangan ibu bapa dalam soal beragama. Namun pada usia 25 tahun, kejutan daripada anak itu dengan mengakui bahawa hatinya menjadi tenang apabila mendengarkan bacaan al-Quran.
    Namun, itu tidak bermakna dia akan menerima bulat-bulan tanpa mencari maklumat tambahan tentang Islam, sebelum benar-benar melakukan syahadah.
    Tidak lama selepas itu, anaknya itu menerima Islam. Namanya diubah dari Yoong kepada Jamila. Jamila kemudiannya bernikah dengan seorang Muslim Korea.
    "Anak perempuan saya menerima Islam pada usia jauh lebih muda daripada saya iaitu 20 tahun. Dia juga menikah dengan seorang Muslim Korea dan tinggal berdekatan dengan kami," katanya.
    Ayesha Kim, wanita Korea yang teguh, tegas, lembut hati dan tinggi keazaman telah melalui saat getir dalam mencari erti kebenaran sebelum pintu hatinya diketuk sentuhan cahaya Islam.
    Sejak itu, perjalanan hidupnya mengikut landasan Islam. Hari ini, Ayesha aktif berdakwah di kalangan wanita Korea. Dia telah mendorong ramai wanita Korea untuk menerima Islam.
    "Saya membuat mereka memahami bagaimana Islam melindungi hak-hak bersama pasangan yang telah menikah dan bagaimana Islam menyediakan dasar untuk kehidupan keluarga.
    "Hakikatnya agama Islam menghormati wanita. Segala puji bagi Allah, saya telah berhasil membimbing sejumlah besar wanita ke jalan kebenaran," ujar beliau.
    Ayesha bersyukur para mualaf Korea cukup istiqamah. Mereka umumnya menjadi pendakwah baru, seperti dirinya. Mereka juga terus didorong untuk aktif melakukan kegiatan sosial.
    "Itulah sesungguhnya inti pesan Islam, menjadi rahmat bagi siapa saja di sekelilingnya," ujarnya.
    Ditanya hasratnya di hujung usia, kata Ayesha, dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana suami, anak-anak dan dirinya menerima hidayah Allah SWT.
    Mereka telah beberapa kali menunaikan haji dan umrah. Sungguhpun masih ada di kalangan sanak saudara yang belum memeluk Islam, namun Ayesha masih berbaik dan saling hormat menghormati.
    "Ibadat haji saya yang pertama adalah pada tahun 1978 di mana saya mengambil peluang menjalani kehidupan dalam komuniti Muslim. Sekarang setelah kembali semula dari Arab Saudi ke Korea, saya tinggalkan hati saya di sana.
    "Kepulangan itu telah menambahkan lagi azam saya untuk terus berkunjung ke tanah kelahiran baginda Rasulullah SAW," jelasnya.
    Kejayaannya akui Ayesha adalah berkat berpegang teguh kepada firman Allah SWT sebagaimana dalam surah Ali Imran ayat 160 yang bermaksud: Jika Allah menolong kamu, maka tidak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu...

    Empat Keadaan Menyebabkan Berlaku Murtad

    MURTAD atau juga disebut sebagai kekafiran kerana beberapa sebab. Boleh jadi kerana mengingkari sesuatu yang sudah diketahui secara pasti sebagai bahagian daripada hukum agama atau dengan melakukan perbuatan kekafiran, ucapan kekafiran atau kerana tidak peduli dan ingkar dengan agama Allah.

    Ada orang menjadi batal imannya kerana keyakinan bahawa Allah mempunyai anak, isteri atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam mentadbir dan mengurus alam semesta ini, meyakini ada makhluk yang memiliki nama, sifat atau perbuatan seperti Allah. Ini juga termasuk meyakini ada sesuatu makhluk yang berhak disembah atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam rububiyyah. Dengan keyakinan begini, seseorang itu terjerumus dalam kancah kekafiran besar yang mengeluarkan dirinya dari Islam atau juga disebut murtad.
    Seseorang itu juga boleh jadi murtad kerana perbuatan bersujud kepada berhala, mengamalkan ilmu sihir atau melakukan berbagai bentuk kesyirikan seperti berdoa kepada selain Allah, menyembelih haiwan untuk selain Allah, bernazar untuk selain Allah, atau bertawaf di selain Kaabah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jadi orang boleh menjadi murtad kerana perbuatan atau menerusi ucapan.
    Seseorang juga boleh jadi murtad gara-gara ucapan mencaci Allah, mencaci Rasul-Nya, mencaci Islam, atau mengolok-olokkan Allah, kitab-Nya atau agama-Nya.

    Allah berfirman mengenai kelompok orang dalam perang Tabuk yang mengejek Nabi dan sahabat yang bermaksud:
    "Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf kerana kamu kafir sesudah beriman, jika Kami memaafkan segolongan kamu (kerana mereka bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang yang selalu berbuat dosa." (Surah at-Taubah, ayat 65-66).

    Dalam ayat di atas Allah menetapkan bahawa mereka kafir setelah dulunya beriman. Ini menunjukkan bahawa kekafiran itu kerana perbuatan dan keyakinan seperti dalam ayat di atas. Orang berkenaan kafir gara-gara ucapan mereka.
    Manusia juga boleh murtad kerana berpaling terhadap agama Allah dan meninggalkan atau menolak agama Allah, seperti tidak mahu mempelajari agama dan tidak mahu menyembah Allah. Orang ini murtad disebabkan sikap berpaling tadahnya.

    Walhasil murtad itu boleh jadi kerana gara-gara pengingkaran, perbuatan, ucapan atau berpaling dan tidak peduli.

    Orang yang dipaksakan untuk mengucapkan ucapan kekafiran atau perbuatan kekafiran itu dimaafkan jika paksaannya yang menyebabkan tidak ada pilihan lain.

    Kekafiran itu terbahagi dalam empat keadaan iaitu;


  • Melakukan perbuatan kekafiran secara serius.

  • Melakukan perbuatan kekafiran secara main-main.

  • Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan ketakutan.

  • Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan dipaksa, namun hatinya berasa mantap dengan kekafiran.

  • Malaysia Dihormati Dunia Islam

    pix_gal0
    GMM landasan terbaik pulihkan imej agama, beri penjelasan kepada Barat

    KUALA LUMPUR: Malaysia antara negara disayangi umat dalam dunia Islam kerana banyak mencapai kejayaan membanggakan, kata Pengerusi Majlis Parlimen Agama Sedunia, Imam Abdul Malik Mujahid.
    Malah, beliau mengakui turut menyayangi Malaysia yang disifatkan bukan saja sebuah negara cantik, tetapi memiliki inisiatif untuk melaksanakan agenda penting seperti Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM).
    “Saya datang ke Malaysia setiap empat atau lima tahun dan setiap kali itulah saya mendapati Malaysia semakin maju. Oleh itu, jangan (ada yang) kacau Malaysia. Kami bangga dengan anda (Malaysia). Teruskan dan semoga Tuhan merahmati anda.

    “Semoga Tuhan membuka hati kita kepada jiran kita dalam arena global ini dan semoga Tuhan juga membuka hati jiran kita terhadap kita. Amin,” katanya yang turut menceritakan kebolehannya memasak rendang dan menyukai nasi lemak untuk sarapan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap sebagai salah seorang ahli panel pada Persidangan Antarabangsa Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM2012), di sini semalam.

    Ahli panel lain pada sesi yang dikendalikan Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar itu adalah Pengarah Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa, Prof Dr K S Nathan serta bekas Timbalan Perdana Menteri Thailand, Dr Surakiart Sathirathai.
    Dalam pada itu, Abdul Malik berkata, dunia memang memerlukan inisiatif GMM, termasuk Amerika Syarikat di mana tinjauan mendapati ramai rakyat negara itu kesal terhadap propaganda Islam dan umatnya serta Islamfobia.

    “Ratusan juta rakyat AS berpandangan positif terhadap Islam dan Muslim serta bersedia untuk menjadi rakan dalam usaha ini.

    “Adalah penting untuk memberitahu semua cerita mengenai kesederhanaan dan Islam. Dialog serta perbualan yang berkesan amat penting. Malah, antara dialog yang saya inginkan ialah sesama Muslim, antara golongan Syiah dan Sunnah, serta dengan rakyat Malaysia di sini,” katanya.

    Sementara itu, Sathirathai ketika menjawab soalan peserta mengenai pergolakan di selatan Thailand berkata, pergerakan kesederhanaan amat membantu dalam menangani isu berkenaan.

    Dalam ucapannya pula, beliau berkata, calon berpotensi menjadi sebahagian daripada gabungan peserta GMM termasuk negara yang mempunyai latar belakang kesederhanaan dalam politik, ekonomi, ideologi, sosial, agama dan kebudayaan.

    “Ia juga tidak perlu hanya berasaskan negara, tetapi boleh membabitkan individu mewakili kerajaan, parti politik, kesatuan sekerja, perniagaan, pertubuhan keagamaan, pemimpin masyarakat, ahli akademik, dan pertubuhan bukan kerajaan.

    “Selain itu, peranan media amat penting sebagai instrumen kesederhanaan. Kedua-dua media cetak dan digital diikuti khalayak yang besar,” katanya. 

    Laporan Syuhada Choo Abdullah, Shaarani Ismail dan Zanariah Abd Mutalib

     

    Tuesday, 17 January 2012

    Cuaca Terburuk Sejak 16 Tahun





    UMAT Islam di Kashmir, India tetap menunaikan kewajipan solat Jumaat secara berjemaah di kaki lima jalan raya walaupun wilayah itu dilanda cuaca sejuk melampau sejak sebulan lalu.
    Cuaca sejuk dan hujan salji mengakibatkan salji meliputi seluruh taman dan masjid di Srinagar.
    Sejuk melampau yang melanda daerah itu merupakan cuaca terburuk direkodkan sejak 16 tahun lalu iaitu sehingga mencecah negatif 5.5 darjah celsius.

    Warga Emas Perlu Awasi Kesihatan

    TUA merupakan proses semula jadi yang dialami oleh semua insan. Bezanya bagaimana seseorang itu memilih cara untuk melalui kehidupan tua. Sama ada dengan terus kekal sihat dan cergas atau sebaliknya.
    Cara yang terbaik untuk terus sihat dan cergas adalah dengan menjaga badan dan fikiran supaya selalu aktif.
    Menurut kajian, terdapat 2.4 juta warga emas di Malaysia hari ini. Iaitu kira-kira lapan peratus daripada jumlah penduduk negara.
    Jabatan Statistik mensasarkan bilangan itu bertambah menjadi 3.2 juta orang 10 tahun lagi. Apabila bilangan warga emas menjadi 9.5 peratus daripada komposisi penduduk negara pada 2035, maka Malaysia secara rasmi menjadi negara masyarakat tua seperti Jepun dan Singapura.
    Bilangan warga emas ( berumur 60 tahun ke atas) semakin meningkat kerana jangka hayat yang lebih lama berikutan kualiti hidup dan kemudahan perubatan lebih baik. Secara purata, jangka hayat wanita negara ini ialah 78 tahun dan lelaki 76 tahun.
    Keadaan itu mempunyai kesan besar terhadap negara. Di peringkat keluarga, ia bermakna anak-anak perlu memastikan penjagaan kepada orang tua mereka.
    Menurut Ketua Jabatan Perubatan Rawatan Utama, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sajaratul Nisah Othman, proses penuaan berlaku sejak dilahirkan.
    Bagaimanapun katanya, tidak ramai yang menyedari perubahan itu sehinggalah mereka sendiri mengalami perubahan.
    "Ada orang kelihatan tua di usia 40 tahun. Ada orang apabila berumur 60 tahun. Manakala ada pula masih lagi aktif walaupun telah berumur 80 tahun.
    "Ini semua disebabkan perbezaan gaya hidup, pemakanan dan keturunan,'' ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.
    Katanya apabila usia meningkat, perubahan diri juga berlaku. Malah kulit tampak berkedut terutama di wajah, kulit kering dan mungkin bertompok.
    Ketika itu, sendi dan tulang mudah patah, otot menjadi lemah, penglihatan menjadi kabur, pendengaran kurang terutama kepada bunyi nyaring, deria rasa dan bau semakin lemah.
    Malah ia juga melibatkan perubahan-perubahan lain seperti tindak balas lebih lambat, penghadaman menjadi perlahan, saluran darah lebih keras dan kurang elastik, keupayaan jantung mengepam berkurangan, kurang keupayaan mengawal kencing serta kurang daya ingatan mungkin berlaku.
    "Ketika ini, perhatian perlu diberikan oleh kaum keluarga terdekat. Sebab itu kita galakkan warga emas supaya hidup dalam suasana yang sihat dan mengamalkan pemakanan yang sempurna,'' katanya.
    Bagaimanapun kata Dr. Sajaratul, pemakanan memainkan faktor penting dalam memastikan kesihatan warga tua terurus.
    Mereka tidak lagi sibuk dengan beban kerja. Keadaan ini menyebabkan ramai warga emas mengamalkan gaya hidup sedentari (cara hidup seseorang yang kurang aktif).
    "Hakikatnya, cara hidup ini bukan sahaja mengganggu kesihatan diri dengan penyakit-penyakit merbahaya tetapi juga boleh menyumbang kepada masalah lemah tulang.
    "Gaya hidup sedentari tidak membantu kesihatan terutama tulang. Sebab itu kita perlu mengambil langkah untuk melindungi.
    "Lebih bahaya sekiranya golongan yang terlibat terdiri daripada mereka yang berbadan besar atau gemuk. Ia menyebabkan mereka mudah untuk mendapat kerapuhan otot dan tulang,'' ujarnya.
    Bagaimanapun, tegasnya, semua itu boleh dielakkan sekiranya warga emas mengamalkan hidup sihat dengan mengamalkan senaman yang betul dan pemakanan yang sesuai.
    Katanya, warga emas digalakkan untuk mengambil makanan yang seimbang dan mengurangkan makanan yang mempunyai kandungan gula yang berlebihan.

    Tabiat Merosakkan Kulit


    Telefon yang bersentuhan pada kulit wajah boleh menimbulkan iritasi.



    Tanpa disedari kadang kala sesetengah tabiat seharian kit memberi kesan buruk pada kulit termasuk berjerawat, kusam dan kering tidak bermaya. Antara tabiat buruk tersebut termasuklah:
    Bercakap di telefon terlalu lama
    Menjadi kebiasaan kita meletakkan telefon bimbit di sebarang tempat termasuk di tempat-tempat berdebu seperti dalam beg, atas meja, dalam kereta dan sebagainya. Tanpa disedari ia boleh menyebabkan jerawat pada muka apabila pipi bersentuhan dengan telefon akibat bercakap di talian terlalu lama. Untuk mengelakkannya lap dulu telefon sebelum menggunakannya.
    Kerap mengerutkan mata
    Tabiat sesetengah daripada kita tidak gemar mengenakan kaca mata atau lensa sesentuh walaupun penglihatan agak kabur. Ini membuatkan anda mengerutkan muka dan mengecilkan mata untuk melihat objek dengan lebih jelas. Jika perbuatan ini berlarutan kesannya kulit akan cepat berkerut dan kelihatan tua.
    Penggunaan penyembur rambut (hair spray)
    Banyak yang menggunakan tapak tangan untuk melindungi mata ketika menggunakan penyembur rambut. Tapak tangan tidak dapat melindungi seluruh wajah kerana partikal-partikal kecil daripada penyembur rambut akan menembusi celah-celah jari dan melekat pada wajah yang boleh menjejaskan kulit. Seeloknya gunakan tuala bersih untuk melindungi wajah ketika menggunakan penyembur rambut
    Malas mengganti sarung bantal
    Ketika tidur, sel-sel kulit mati di wajah akan melekat pada sarung bantal. Lama kelamaan ia menebal dan timbul bakteria. Jadi jika malas mengganti sarung bantal bermakna anda tidur di atas timbunan bakteria.
    Kerap mandi air panas
    Mandi air panas memang nikmat. Tapi jika terlalu kerap dan tempohnya terlalu lama, lapisan luar epidermis akan terkikis dan kulit akan jadi sangat kering. Kulit kering lebih cepat kendur dan berkedut.

    Umat Islam Digesa Menyimpan Di Tabung Haji


    Nasir Sakaran (tengah) bersalaman dengan sebahagian peserta program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (Hishaj) anjuran Tabung Haji Semporna, kelmarin.


    SEMPORNA 17 Jan. - Masyarakat Islam khususnya di daerah ini dinasihat supaya mula menabung dengan Lembaga Tabung Haji (LTH) bagi memudahkan mereka untuk menunaikan fardu haji.
    Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Sakaran berkata, mereka boleh menyimpan dan menjadi ahli LTH hanya dengan minimum simpanan permulaan sebanyak RM2.
    ''Kita yakin dan percaya sebagai sebuah institusi kewangan Islam milik 100 peratus masyarakat Islam dengan kekuatan dana umat Islam lebih RM30 billion serta lebih 6.8 juta pendeposit, LTH mampu memberi sumbangan besar demi manfaat umat Islam di negara ini," katanya.
    Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Persaudaraan Hujjaj (Hishaj) Musim Haji 1432 / 2011 di Kompleks Polis Marin, di sini semalam.
    Hadir sama, Pengarah Tabung Haji Sabah, Nurlailah Said; Pengurus Tabung Haji Semporna, Abdul Samat Mansur dan Pegawai Pemerintah Pasukan Gerakan Marin Semporna, Asisten Supritendan Zawawi Mohamad.
    Program itu bertujuan mengekal dan meningkatkan hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah haji setempat di daerah itu.
    Nasir berkata, program itu boleh digerakkan lebih jauh dengan melantik jawatankuasa dalam kalangan jemaah haji yang boleh menggerakkan pelbagai aktiviti dan mendapatkan maklumat semasa berkaitan ibadat haji.
    Jelasnya, langkah tersebut dapat memperkemaskan ilmu jemaah berkaitan ibadat haji dan menjadi daiee (pendakwah) yang boleh menggerakkan masyarakat Islam terutama bakal-bakal haji yang akan berangkat ke tanah suci Mekah.
    Dalam pada itu katanya, kerajaan telah menanggung kenaikan kos tambang menunaikan haji setiap tahun manakala jemaah haji hanya perlu membayar RM9,980.
    ''Berbanding dengan kos sebenar adalah sebanyak RM14,345. Kenaikan kos ini meningkat setiap tahun dan tanpa mahu membebankan jemaah haji, kerajaan sedia tanggung separuh daripada kos itu," ujarnya.

    Pelan MAIS Tangani Murtad

    SHAH ALAM 17 Jan. – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan menyediakan satu pelan tindakan khusus bagi menyalurkan bantuan zakat kepada golongan asnaf yang perlu diberikan tumpuan dalam usaha menangani gejala murtad di negeri ini.
    Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd. Isa berkata, pelan yang dirangka oleh Jawatankuasa Pengurusan Aduan dan Penguatkuasaan MAIS itu akan memberi tumpuan kepada pengurusan agihan bantuan kepada mereka yang terbabit dengan gejala tersebut, selain membantu mencegah penyebaran ajaran sesat.
    “Jawatankuasa baharu yang ditubuhkan itu akan melihat semua perkara membabitkan soal akidah di negeri ini. Kita juga akan meneliti secara mendalam setiap aspek berhubung pengurusan agihan bantuan zakat kepada golongan fakir miskin agar tidak terjebak dengan sebarang unsur yang boleh memurtadkan mereka.
    “Kita harap jawatankuasa itu juga akan menyediakan mekanisme yang sesuai dengan pengagihan bantuan zakat bagi menangani gejala murtad dan ajaran sesat ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat MAIS di sini hari ini.
    Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohamed Izam Mohamed Yusof; Setiausaha MAIS, Mohd. Haniff Hassan dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin.
    Mohamad Adzib mengulas gejala murtad melibatkan umat Islam, antaranya berpunca daripada kesempitan hidup dan sukar mendapat bantuan zakat berbanding daripada pihak bukan Islam.
    Keadaan itu dikesan berlaku berdasarkan kajian Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam Universiti Malaya (UM) yang menyebut data kajian terpilih dari 2006 hingga 2011 membabitkan testimoni 305 responden terdiri daripada penganut baru agama Kristian di sekitar Selangor.
    Berdasarkan kenyataan pensyarah jabatan itu, Prof. Madya Dr. Khadijah Mohd. Khambali pada 12 Oktober lalu, terdapat responden menyatakan mereka sukar mendapatkan bantuan zakat berbanding daripada gerakan Kristian.
    Selain menerima bantuan dan layanan baik daripada gerakan itu, golongan yang baru memeluk agama itu turut ditawarkan ganjaran wang tunai sekiranya berjaya menarik orang lain untuk menyertai gerakan tersebut.
    Dalam pada itu, Mohamad Adzib menyatakan LZS membuka kaunter bantuan zakat ekspres di setiap pusat zakat di seluruh negeri ini bagi membolehkan asnaf yang layak mendapatkan bantuan zakat secara terus bagi menampung keperluan mereka.
    “Pengagihan bantuan zakat akan dilakukan di kaunter berkenaan mengikut keperluan asnaf pada hari yang sama mereka memohon,” katanya.

    Friday, 13 January 2012

    APD 2011 Untuk Maslahah Umat





    Penyeragaman logo halal memudahkan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan dilakukan untuk kebaikan umat Islam di Malaysia. - Gambar hiasan




    TIDAK dinafikan, ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dan mempertikai keputusan parlimen meluluskan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

    Lebih-lebih lagi bagi peniaga kecil yang terpaksa melalui proses permohonan untuk mendapatkan sijil halal yang dikatakan rumit dan membebankan.

    Akta tersebut dianggap menyusahkan kerana bermula tarikh berkuatkuasa, hanya logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sah digunapakai oleh semua premis perniagaan dan pengusaha produk di negara ini.

    Hanya Jakim dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dilantik sebagai badan berwibawa untuk memperakukan pengesahan status halal tersebut.

    Oleh itu, tiada lagi penggunaan logo halal lain dikeluarkan oleh pihak swasta digunakan selepas penguatkuasaan akta itu dan peniaga perlu memperbaharui logo lama kepada logo halal Jakim.

    Mereka beranggapan, proses pembaharuan itu sebagai sistem birokrasi terlampau yang hanya menyusahkan serta membazir wang, masa dan tenaga peniaga untuk mendapatkan kelulusan sijil halal baru.

    Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman berkata, APD 2011 sebenarnya lebih banyak membawa kebaikan daripada keburukan.

    Katanya, peniaga memang perlu mematuhi prosedur dan memenuhi standard yang ditetapkan untuk mendapatkan pengesahan sijil halal. Tetapi keperluan itu mengambil kira kepentingan masyarakat dan umat Islam khususnya di negara ini.

    Secara umumnya, kata beliau, penguatkuasaan APD 2011 boleh dibahagikan kepada dua sudut berbeza iaitu pihak berkuasa dan peniaga serta pengguna.

    "Daripada aspek pihak berkuasa atau kerajaan, ia menunjukkan usaha dalam menjalankan tanggungjawab memastikan produk yang digunakan di negara ini adalah dijamin halal.

    "Dalam aspek peniaga pula, ia seperti nilai tambah yang membantu syarikat mempromosikan produk buatannya sama ada di dalam dan luar negara," jelas beliau kepada dihubungi Mega, baru-baru ini.

    Menurut Zaharuddin, sudah pasti pengguna akan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada produk yang tertera logo halal.

    "Ia bukan sahaja membantu meyakinkan masyarakat malah meningkatkan nilai tambah dalam mempromosikan produk tersebut," katanya.

    Zaharuddin menambah, sebelum ini negara dipenuhi pelbagai jenis logo halal daripada pelbagai pihak dan agensi swasta.

    Ini membuka ruang kepada sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan membuat perniagaan mengeluarkan sijil halal.

    Hal itu katanya, membuatkan pengguna berasa ragu-ragu dan kurang kepercayaan terhadap sijil dan logo halal yang dipamerkan.

    "Tetapi dengan termaktubnya akta dan penguatkuasaan penyelarasan logo halal ini dapat menjamin produk yang disahkan halal oleh Jakim dijamin halal.

    "Bagi syarikat besar dari luar negara pula, logo halal yang disahkan oleh Jakim boleh digunakan untuk menarik kepercayaan dan memasarkan produk mereka kepada negara Islam lain," jelasnya.

    Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan, berkata, pihaknya menyambut baik pembubaran akta lama dan mewujudkan APD 2011.

    "APD 2011 adalah usaha bijak yang diambil oleh kerajaan dalam mengurangkan produk tidak halal dari berleluasa dan digunakan oleh umat Islam.

    "Kini, terpulang kepada pengguna itu sendiri untuk memilih produk yang mereka gunakan daripada sumber apa," jelasnya.

    Bagaimanapun, Nadzim mencadangkan lebih kuasa perlu diberi kepada kementerian yang bertanggungjawab supaya tindakannya lebih efektif dan berkesan .

    Katanya, ini perlu kerana kementerian yang bertanggungjawab lebih mengetahui keperluan sebenar perihal yang berlaku di bawah bidang kuasanya.
    "Setiap kementerian mempunyai bidang kuasa tersendiri. Oleh itu, jika kuasa penuh diberi kepada menteri yang dipertanggungjawabkan, maka ia boleh meneliti segala perkara daripada akar umbi, lebih-lebih lagi apabila berlaku sebarang isu," katanya

    Tibi Masalah Kesihatan Negara



    Kuman Tibi cepat menular apabila sistem pertahanan badan semakin menurun. - Gambar hiasan.


    Di saat ramai di kalangan masyarakat yang membicarakan mengenai penyakit Tibi ketika ini, mungkin ada di antara kita yang langsung tidak mempunyai maklumat mengenai penyakit yang boleh membawa maut ini.
    Sementelah penyakit ini tidak lagi menjadi penyakit yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat di negara ini berbanding dengan penyakit-penyakit baru semakin mendapat perhatian seperti HIV/AIDS, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.
    Namun sebenarnya penyakit ini masih lagi menular di kalangan masyarakat di negara ini dengan 19,337 kes telah dilaporkan pada tahun 2010 dan keadaan kes ini pastinya semakin bertambah hari demi hari.
    Apakah itu Tibi sebenarnya? Tibi merupakan sejenis penyakit berjangkit berbahaya yang boleh membawa maut sekiranya tidak mendapat rawatan dengan sempurna.
    Penyakit ini disebabkan oleh kuman Tibi (Tubercle Bacili) yang biasanya menjangkiti paru-paru. Ia juga boleh menyerang bahagian-bahagian lain anggota badan seperti selaput otak, tulang, kelenjar, buah pinggang dan kulit.
    Menurut Pakar Perunding Kanan Perubatan/Respiratori, Datuk Dr. Aziah Ahmad Mahayiddin, antara tanda dan gejala penyakit Tibi paru-paru ialah batuk yang berterusan lebih daripada dua minggu, kahak yang mengandungi darah, demam dan berpeluh lazimnya pada sebelah petang dan malam. Juga susut berat badan dan hilang selera makan, sakit dada apabila batuk atau semasa menarik nafas panjang dan mudah letih.
    Kata Dr. Aziah, kuman Tibi disebarkan melalui udara apabila pesakit batuk atau bersin dan setiap individu yang menyedut udara tercemar ini terdedah kepada jangkitan kuman Tibi.
    Antara sasaran Tibi sekarang ialah golongan muda yang mempunyai pergaulan sekeliling serta mudah terdedah kepada jangkitan sekiranya pertahanan sistem badan kurang mantap dan menurun.
    ''Namun tidak bermakna sekiranya terdapat individu yang terkena jangkitan Tibi itu dia akan mendapat penyakit berkenaan.
    "Kebanyakan individu yang dijangkiti tidak akan mendapat penyakit Tibi kerana kuman-kuman Tibi akan terpendam dan tidak aktif dalam badan seseorang kerana ia bergantung kepada sistem pertahanan badan seseorang.
    "Sekiranya badan seseorang itu lemah dan kurang aktif menyebabkan penyakit ini senang merebak. Tibi akan menjadi aktif apabila sistem pertahanan badan seseorang itu menurun," jelasnya ketika ditemui di Institut Respiratori di ibu negara, baru-baru ini.
    Dr. Aziah memberitahu, setakat ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan, kira-kira sepertiga daripada penduduk dunia telah dijangkiti Tibi tetapi tidak semestinya mereka menjadi punca jangkitan dan mendapat penyakit tersebut.
    Apabila seseorang itu telah mendapat jangkitan Tibi, rawatan yang bakal dijalani adalah agak panjang sekurang-kurangnya enam bulan dengan pelbagai jenis ubat-ubatan.
    ''Apa yang penting seseorang pesakit perlu fokus dan tetap dalam menjalani rawatan kerana sekiranya mereka gagal atau cuai dalam mendapatkan rawatan biarpun ia rawatan susulan atau ulangan, penyakit ini akan jadi rentan (tidak lali) dengan ubat-ubatan yang diberikan menyebabkan jangkitan Tibi tidak terkawal berlaku.
    ''Sebenarnya simptom Tibi adalah pelbagai berdasarkan kepada di mana kuman penyakit itu membiak. Tibi juga berlainan daripada kanser kerana penyakit ini berjangkit dan boleh dirawat dengan senang.
    "Tibi berjangkit melalui cecair mulut dan hidung yang mengandungi kuman Tibi apabila batuk, bersin dan bercakap. Sesiapa yang menyedut udara ini pasti akan dijangkiti," kata Dr. Aziah.
    Jika dibandingkan dengan HIV yang cara jangkitannya terhad, jangkitan Tibi adalah lebih serius.
    Antara mereka yang mempunyai kadar yang besar untuk dijangkiti penyakit Tibi ialah penduduk yang mempunyai status yang rendah yang kurang mampu dari segi makanan, ubat-ubatan, kesihatan, menghidap penyakit kronik seperti asma, diabetes, HIV dan lain-lain.
    Jelasnya, pesakit yang dijangkiti Tibi perlu menjalani saringan kesihatan di klinik khas yang disediakan. Lakukan pemeriksaan kahak dan menjalani pemeriksaan Sinar - X di klinik kesihatan atau hospital terdekat.
    Katanya, Tibi boleh diubati dalam tempoh enam bulan, orang ramai perlu meningkatkan kesedaran sekiranya mereka menghidap batuk lebih daripada dua minggu, mereka perlu mendapatkan rawatan dan mengenal pasti apakah batuk yang dihidapi itu simptom penyakit Tibi kerana sekiranya lewat mendapatkan rawatan, penyakit ini boleh membawa maut.
    "Kadar beban Tibi di negara ini dianggarkan 63 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
    ''Juga jangan menganggap batuk kering adalah Tibi kerana ia sebenarnya adalah sebahagian daripada sejenis penyakit Tibi yang menular ke paru-paru sahaja.
    "Tibi juga boleh menular ke tulang, usus, kelenjar, buah pinggang, selaput otak mengikut peredaran darah yang membawa kuman itu," kata Dr. Aziah.
    Apabila ditanya mengenai peningkatan jumlah pesakit Tibi yang semakin meningkat beliau memberitahu, ia diakibatkan oleh faktor-faktor kumpulan pertahanan badan yang semakin menurun menyebabkan sistem pertahanan badan tidak boleh menyekat kuman berkenaan.
    Apatah lagi faktor jangkitan penyakit seperti HIV, obesiti, kencing manis dan penyakit-penyakit kronik lain menyebabkan kelemahan pada sistem badan.
    ''Ia jua disebabkan oleh penghijrahan pendatang atau warga asing yang memasuki negara ini, tanpa saringan yang mungkin meningkatkan punca jangkitan.
    ''Perlu diketahui, negara yang mempunyai beban kes yang tinggi ialah Afrika, Filipina, Indonesia dan Thailand.
    "Sekiranya pekerja yang diambil bekerja itu sebagai contoh pembantu rumah menjalani ujian kesihatan adalah tidak perlu dibimbangkan bagaimana pula sekiranya mereka datang secara tidak sah? Kita tidak tahu apa kuman yang dibawa mereka," katanya.
    Justeru dalam soal seperti ini, isteri atau suri rumah tangga perlu mengetahui bahawa pastikan tiada tanda-tanda Tibi yang sentiasa berada di sekeliling diri mereka agar dapat mencegah dari Tibi terus merebak.
    Justeru, kepada semua suri rumah beliau menasihatkan agar memperbanyakkan cahaya matahari masuk ke dalam rumah kerana cahaya matahari boleh membunuh kuman Tibi. Pastikan juga rumah mendapat pengudaraan yang sempurna dengan membuka pintu dan tingkap serta amalkan cara hidup sihat dan makan makanan yang seimbang.
    Namun kesedaran masyarakat di negara ini masih berada pada tahap yang rendah apabila dilihat ramai di kalangan masyarakat yang masih kurang mengambil berat hal kesihatan mereka agar tidak dijangkiti dengan pelbagai penyakit seperti Tibi ini.