Laman Utama

Wednesday, 30 November 2011

Koleksi Mutiara Kata

"Rezeki.. ada di mana-mana, datang tanpa diduga,
tepat pada masa, yang penting, usaha & tawakkal."

"Ilmu dan kepandaian itu adalah sahabat yang setia
dalam hidup sampai kepada penghabisan umur" ~ Hamba Allah

"Kebijaksanaan menjanjikan kejayaan dan 
kebahagiaan tetapi jika disalahgunakan 
akan mewujudkan penderitaan."
"Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan
manusia untuk menyambut kesempatan yang menjelma."

"Anda tidak boleh mencipta pengalaman. 
Anda mesti menghadapinya." ~ Albert Camus

"Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal,
tetapi ianya datang dari semangat yang tidak pernah mengalah."

"Mengetahui perkara yang betul tidak memadai 
dan bermakna jika tidak melakukan perkara yang betul."

"Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap 
yang ingin sentiasa melakukan yang terbaik."

"Barangsiapa mempertimbangkan keselamatan
dalam tindakannya, maka tenanglah batinnya."

"Orang yang berjaya dalam hidup 
adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas 
dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." ~ Cecil B. DeMille

"Jangan biarkan perahu hanyut tak berpenghuni
nanti hanyutnya tidak singgah ke pelabuhan."

"Ukuran yang paling tinggi tentang adab seseorang itu,
ia wajib menaruh perasaan malu akan dirinya terlebih dahulu." ~ Aflatun

"Kesempatan yang kecil seringkali merupakan permulaan kepada usaha yang besar."

"Hidup memerlukan pengorbanan. 
pengorbanan memerlukan perjuangan.
perjuangan memerlukan ketabahan. 
ketabahan memerlukan keyakinan. 
keyakinan pula menentukan kejayaan. 
kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan."




Monday, 28 November 2011

Tukar Mazmumah Kepada Mahmudah

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

pix_middle
PERISTIWA hijrah Rasulullah s.a.w perlu dijadikan ukuran buat diri individu Muslim kerana ia mempamerkan kesungguhan serta pengorbanan umat Islam di Makkah ketika itu yang sanggup berkorban nyawa, harta benda demi mencari keredaan Allah s.w.t.
Walaupun sejarahnya lebih 1,000 tahun, ia tetap dikenang sebagai lambang kejayaan umat Islam. Cukupkah kita hanya berbangga menggunakan nama Islam, dilahirkan dalam keluarga Islam namun hakikatnya tidak menjiwai watak sebagai seorang Islam tulen.
 
Penghijrahan utama yang perlu dilakukan adalah menukarkan sifat mazmumah kepada nilai mahmudah. Tafsiran kepada sifat terpuji dan terkeji tidak hanya berkaitan mengenai perkara ibadat tetapi menilai sikap lain terutamanya hubungan sesama manusia dan masyarakat, gerak kerja seharian, budaya serta tingkah laku.

Sebagai langkah permulaan, perbaiki kelemahan kecil yang ada dalam diri terlebih dulu sebelum melihat perkara besar. Penghijrahan perlu berlangsung secara beransur-ansur dengan membiasakan diri melakukan kebaikan kerana lama kelamaan pasti berhasil.

Solat umpamanya adalah ukuran paling tepat menggambarkan perubahan sifat seseorang. Bagi mereka yang dulunya amat memandang ringan malah begitu banyak meninggalkan solat maka ingatlah ia ibadah utama yang mengukur kejayaan seseorang di dunia dan akhirat.


Jika melaksanakan solat, sebaiknya perkemaskan untuk bersolat pada awal waktu serta dilakukan secara berjemaah. Latih diri melaksanakan solat sunat lain sebagai menampung kekurangan dalam solat wajib.

Begitu juga halnya dengan sikap; jika dulunya dianggap seorang yang kasar percakapannya sehingga pernah membuatkan orang lain terasa, perbaikilah menjadi seorang yang memiliki budi pekerti luhur dan lembut percakapannya.



Aspek kebersihan diri dan tempat tinggal perlu dikekalkan dalam suasana bersih, cantik dan selesa kerana itu adalah tuntutan dalam Islam.

DIDIK ANAK...anak perlu diberikan didikan seimbang antara keperluan dunia dan akhirat supaya dapat melahirkan generasi serta tamadun bangsa yang gemilang. - gambar hiasan

Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Prof Madya Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, berkata umat Islam perlu mengingati Muharam sebagai tahun baru Hijrah yang penuh dengan kisah perjuangan Rasulullah dan sahabat menegakkan Islam.


“Keadaan ini jauh bezanya dengan senario umat Islam hari ini di mana mereka terhimpit dalam persaingan dunia tanpa sempadan yang amat mencabar.
                                                                       

“Ditambah lagi dengan pengaruh kebendaan serta penghayatan nilai Islam semakin terhakis daripada kehidupan. Tidak hairanlah ada golongan manusia sudah hilang sifat hormat, semakin ramai sukakan kemungkaran dan bencikan kebaikan.

“Sudah sampai masanya umat Islam mengambil iktibar daripada peristiwa Hijrah dan peranannya dalam menjana pembinaan insan berilmu, beriman, beramal dan berakhlak,” katanya.

Beliau berkata peristiwa Hijrah mengubah ‘wajah’ sejarah kemanusiaan yang dahulunya hidup bermusuh-musuhan dan berperang sesama sendiri.

“Akhirnya, umat manusia dapat bersatu padu dan bermuafakat. Gambaran kehidupan tidak bermoral masyarakat Arab jahiliah ketika itu diceritakan sendiri Ja’afar bin Abi Talib sewaktu ditanya Raja Habsyah yang menyatakan pada zaman itu mereka adalah bangsa jahiliah yang menyembah berhala, memakan bangkai, mengerjakan perkara keji, memutuskan tali kekeluargaan, merosakkan tata tertib tetangga dan yang kuat menekan yang lemah.

“Rasulullah s.a.w mengubah suasana itu dengan membawa mereka keluar daripada belenggu jahiliah kepada gaya hidup bermasyarakat, berkerajaan dan bertamadun tinggi.

“Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “Kalaulah kamu belanjakan segala harta benda yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat juga menyatupadukan antara perasaan dan hati mereka. Akan tetapi, Allah menyatupadukan mereka antara perasaan dan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. (Surah al-Anfal, ayat 63).

“Ayat ini mengingatkan kisah perpaduan antara kaum Muhajirin dan Ansar walaupun asalnya, mereka dua puak yang bersengketa.

“Sejarah kemanusiaan menyaksikan jatuh bangunnya sesebuah bangsa bergantung kepada kekuatan rohani bukannya fizikal. Islam melahirkan personaliti cemerlang dalam sejarah tamadun manusia seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abi Talib,” katanya.

Menurutnya mereka itulah yang menyemarakkan pentas dunia dengan nilai hidup positif yang tidak ada tolak bandingnya dalam lipatan sejarah manusia.

“Ini bertepatan dengan jolokan istimewa yang Allah kurniakan kepada mereka sebagai umat terbaik dan umat pertengahan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan demikianlah (sebagaimana Kami memimpin kamu ke jalan yang benar), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan lagi adil.
(Surah al-Baqarah, ayat 143).

“Hijrah bukan bermakna melarikan diri atau mahu menyerah kalah, sebaliknya salah satu koleksi nostalgia silam bagi menyedarkan umat Islam,” katanya.

Katanya, sebelum mengakhiri tahun 1432 Hijrah, setiap umat Islam perlu mengimbas kembali masa setahun yang berlalu bagi menilai ke mana ia dihabiskan.

“Saidina Umar al-Khattab pernah berkata; Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah di akhirat kelak. Ungkapan ini memberi peringatan kepada kita betapa perlunya muhasabah diri dan bagaimana ia berupaya bertindak sebagai alat persiapan yang akan menentukan kejayaan.

“Pada hari ini terdapat kelemahan melanda umat Islam termasuk kemunduran, kemiskinan, perpecahan, pertelagahan sesama sendiri.

“Ia jauh berbeza dengan jaminan Allah kepada umat Islam sebagai umat terbaik,” katanya.

Sheikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya ‘Al-Ghazwu al-Thaqafiy Yamtaddu Fi Faraghina’ menyatakan umat Islam akan gagal menunaikan risalah Islam yang diamanahkan melainkan mereka memiliki kekuatan kebendaan yang mencukupi.

“Umat Islam pasti gagal merealisasikan amanah menyampaikan Islam jika mereka masih lagi bergantung hasil makanan daripada ihsan golongan kafir dan musuh Islam.

“Justeru, umat Islam perlu bekerja keras memartabatkan kembali imej dan maruah sebagai umat yang terbaik,” katanya.

Engku Ahmad Zaki berkata dalam buku ‘Al-Tamkin Li al Ummah al Islmaiyyah’ karangan Muhammad Sayyid Muhammad Yusuf beliau menggariskan beberapa sifat utama yang mampu mengembalikan Islam pada zaman kegemilangannya.

“Antaranya, umat Islam perlu sentiasa beramal soleh, melakukan ibadat secara mutlak kepada Allah, penguasaan ilmu seimbang antara duniawi dan ukhrawi, berjihad pada jalan Allah, berdakwah serta mempunyai sifat sabar,” katanya.

Pensyarah Kuliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu Warisan Islam dan Sains Kemanusiaan, Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Razak Wan Ahmad, berkata umat Islam di Malaysia perlu melakukan penghijrahan terhadap perkara asas dalam hidup.

“Berdasarkan perkembangan semasa, nilai, moral dan budaya umat Islam semakin jauh daripada landasan sebenar. Tidak mustahil aliran budaya dan agama lain terutamanya Buddha, Hindu atau Kristian akan meresap masuk ke jiwa umat Islam jika ia tidak ditangani.

“Umat Islam di negara ini berdepan tekanan besar dalam aspek akidah, syariat, ekonomi, kebudayaan dan sosial.

Lambang dan identiti Islam semakin kabur dan sukar dikesan,” katanya.

Beliau berkata hijrah utama yang perlu dilakukan sekarang ialah pemberian nama kepada anak yang baru dilahirkan..



“Ia bukan perkara kecil kerana nama membawa perwatakan sebenar dan memberi kesan kepada tingkah laku seseorang jika nama yang diberikan mempunyai maksud buruk.

IMEJ MUSLIM SEJATI-terapkan 
kepada anak kecil supaya mempamerkan
mutu dan kualiti sebenar Islam sebagai 
agama diredhai Allah. - gambar hiasan


“Contohnya, ada ibu bapa memberi nama anak seperti ‘Abdul Manaf’ (hamba berhala), ‘Majnun’ (gila), Hazan (dukacita). Jika bapa tersilap memilih nama, sewajarnya mereka berusaha menukar nama itu.


“Antara nama yang baik seperti nama yang dinisbahkan kepada nama Allah namun perlu dimulai dengan kalimah ‘Abd seperti Abdul Quddus, Abdul Halim, Abdul Fattah dan sebagainya,” katanya.



Abdul Razak berkata perkara lain yang perlu diberi perhatian serius dalam proses penghijrahan ialah memartabatkan kembali cara berpakaian.

“Apa yang berlaku hari ini nampaknya sudah jauh tersasar di mana terdapat di kalangan masyarakat tidak segan silu berpakaian menjolok mata yang membawa fitnah.

“Perubahan perlu dilaksanakan segera dengan membawa imej pemuda dan pemudi Islam yang sentiasa menjaga hubungan serta membaluti tubuh mereka dengan pakaian menutup aurat seperti yang digariskan Islam.

“Begitu juga dari aspek budaya sama ada ketika berada di rumah, pejabat atau bertemu orang lain di luar perlu ada tindakan dan perubahan.


“Masyarakat kita sebenarnya mampu menjadi warga hebat jika sentiasa membudayakan sifat rajin berusaha, kualiti kerja bermutu, kreatif dan sentiasa bermotivasi tinggi,” katanya.




BERUSAHA KERAS...umat yang berjaya sentiasa bekerja keras memajukan diri. - gambar hiasan









Rujukan

Thursday, 24 November 2011

MAJLIS PERJUMPAAN YAB PERDANA MENTERI BERSAMA ULAMA' DAN UMARA' BERTEMPAT DI PWTC, KUALA LUMPUR.


Tarikh      :  16 Disember 2011/ 20 Muharam 1433 H (Jumaat)

Masa         :  8.00 Pagi - 5.00 Petang

Tempat    :  Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala   Lumpur.

Pakaian   :  Baju Kebangsaan/ Bersesuaian


Peserta     : Guru Takmir (60 Org)


Hijrah Membina Penghayatan Islam


AHAD ini umat Islam seluruh dunia menyambut tahun baru hijrah 1433. Di negara kita sambutan tahun baru hijrah atau sambutan Maal Hijrah adalah salah satu kebesaran Islam rasmi peringkat negara. Tema sambutan pada tahun ini adalah 'Persefahaman Asas Perpaduan Ummah'.
Tarikh 1 Muharam atau sambutan tahun baru hijrah adalah perkara yang telah sedia maklum dan difahami oleh kebanyakan orang. Telah banyak perkara berkaitan dengan sejarah hijrah dan juga sejarah perjuangan Nabi Muhammad SAW diperbincang setiap kali sambutan Maal Hijrah.
Namun demikian tidak dinafikan juga kemungkinan kita terlepas pandang atau tidak menyedari tentang peristiwa sejarah yang berlaku itu mempunyai pengajaran dan iktibar yang amat bermakna.
Perlu kita sedari bahawa Allah SWT tidak menjadikan sesuatu peristiwa itu dengan sia-sia bahkan ada pengajaran atau ibrah di sebalik peristiwa tersebut dengan tujuan dijadikan pengajaran dan iktibar serta panduan kepada umat yang berikutnya.
Ini seperti yang telah difirmankan oleh Allah SWT dalam yang bermaksud, Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman. (Yusuf: 111)
Begitu juga dengan apa yang terjadi kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, sebagai pemimpin dan pembawa kebenaran kepada seluruh umat. Banyak peristiwa sejarah atau sirah yang telah berlaku kepada Nabi Muhammad dan salah satu sejarah penting dalam perjalanan Nabi Muhammad sebagai nabi utusan Allah untuk membimbing dan membawa jalan kebenaran kepada umat manusia ialah peristiwa hijrah dari kota Mekah ke kota Madinah. 
  
Peristiwa hijrah nabi dari kota Mekah ke Madinah sarat dengan perjuangan, pertentangan serta cabaran. Ketika hendak meninggalkan kota Mekah, baginda ada menyatakan, "Aku cinta padamu wahai kota Mekah, tempat aku dilahirkan, namun aku yang dapat aku katakan, aku diusir oleh penduduk kota Mekah sendiri".
Penghijrahan yang dilakukan secara diam-diam dan bersembunyi itu dilakukan agar tidak dapat diketahui dan dihidu oleh para musuh yang terdiri dari pelbagai puak dan bangsa yang mungkin boleh katakan sebagai pasukan musuh dari pelbagai pihak (multinasional). Ini menyebabkan Nabi dan Abu Bakar terpaksa bermalam di Gua Thur sebagai tempat persinggahan yang pertama.
Ketika di Gua Thur, Nabi SAW sempat memberi nasihat dan kata-kata rangsangan kepada sahabatnya Abu Bakar dengan kata-kata, la takhaf wa la tahzan innallaha maana (jangan takut dan jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita).
Berdasarkan peristiwa yang penuh tragis, cabaran dan penuh bermakna itu, Khalifah Umar al-Khattab memilih bulan Muharam sebagai bulan permulaan tahun Islam setelah menerima pandangan dari Ali Ibn Talib.
Berdasarkan itu juga bulan muharam merupakan salah satu dari empat bulan (Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) yang dimuliakan dalam Islam iaitu bulan-bulan yang diharamkan berperang dan melakukan kekerasan.
Perkataan 'hijrah' adalah daripada perkataan Bahasa Arab. Ia bermaksud berpisah atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain, atau dalam konteks yang lain hijrah juga boleh dikaitkan dengan perubahan sikap atau tingkah laku.
Dalam hal ini Allah SWT berfirman menyarankan umat Islam berhijrah ke arah iman yang lebih kukuh dan mantap dan hijrah juga sebagai satu ujian dalam hidup.
Ini kerana setiap manusia yang hidup pasti akan menerima ujian, lebih-lebih lagi orang-orang yang beriman. Semakin tinggi darjat keimanan seseorang itu, maka semakin tinggilah ujian keimanan yang akan dihadapinya. 


Tuesday, 22 November 2011

Bendung gejala sosial

 
PORT DICKSON: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) terus membimbing golongan muda bagi memastikan mereka tidak mudah terjebak dalam pelbagai gejala sosial yang boleh merugikan diri dan menjejaskan masa depan.
Baru-baru ini, agensi berkenaan menganjurkan Kem Eksplorasi Kesihatan Reproduktif (KEKR) di Hotel Seri Malaysia di sini, yang membabitkan penyertaan 25 sukarelawan dan pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekitar Kuala Lumpur.

Program itu bertujuan memberi latihan kepada sukarelawan Pusat Mesra Remaja atau kafe@teen dalam mengendalikan Modul Kesejahteraan Hidup dan meningkatkan kemahiran mereka dalam menyampaikan maklumat kesihatan reproduktif yang tepat kepada remaja.
Penyelaras yang juga fasilitator program, Azni Rosyidah Ahmad berkata, program itu untuk membina jati diri dan meningkatkan kefahaman remaja mengenai peranan serta tanggungjawab sebagai insan terbaik dan berketrampilan serta bebas daripada aktiviti tidak sihat.

Beliau berkata, ia sebahagian usaha memperkasakan remaja dengan mengambil kira kehendak, keperluan serta program yang mesra remaja.

“Kami menyediakan program remaja berpaksikan kepada keperluan mereka untuk melahirkan individu berpengetahuan dan bersikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif serta sosial.
“Melalui Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) ini, kami berharap dapat membendung masalah sosial yang dikaitkan dengan remaja seperti mengadakan hubungan terlarang, mengandung anak luar nikah, buang bayi dan terjebak dalam penagihan dadah.

“Tanpa pengetahuan dan kemahiran, remaja tidak dapat menimbang baik buruknya sesuatu perkara, seterusnya tidak dapat membuat keputusan bagi melindungi diri daripada terjebak perkara tidak diingini,” katanya.
Sepanjang kem itu, peserta didedahkan pelbagai ilmu untuk membantu mereka menjadi fasililator yang mampu membantu rakan ke arah membina jati diri yang tinggi serta bebas daripada melakukan perbuatan tidak sihat.

      
Rujukan..