Laman Utama

Thursday, 29 December 2011

Mesyuarat Bahagian Pengurusan Masjid & Surau Kali Ke-12 dan Majlis Sambutan Harijadi KPP

Gambar : Pengerusi Mesyuarat Ustaz Shah Rizan Ibrahim

Gambar : Ahli - ahli mesyuarat

Ahli - ahli mesyuarat 
 
Gambar : Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Meraikan Hari Lahir Ustaz Shah Rizan setelah selesai bermesyuarat

Gambar : Ustaz Shah Rizan Ibrahim(KPP Bhg. Pengurusan Masjid& Surau) sedang memotong kek sambil di perhatikan oleh Ustaz Mizzuan Jafilus.

Tarikh Kiamat Rahsia Allah

BOLEH dikatakan semua agama di dunia mempercayai akan hari khiamat. Agama Kristian, Yahudi atau lain-lain agama di dunia ini juga dikatakan kononnya lebih 'tahu' akan tarikh berlakunya kiamat.
"Kepercayaan mengenai hari kiamat terutamanya menurut agama Kristian dan Yahudi memang ada asasnya kerana nabi-nabi mereka diterima dan diiktiraf dalam Islam.
"Tetapi pada asasnya kepercayaan hari kiamat mereka adalah sebagaimana kepercayaan dalam Islam itu sendiri.
"Iaitu tidak ada tarikh tertentu diberikan sebagaimana yang ditetapkan dalam Islam.
"Malah mereka percaya akan turunnya Al Masih, Nabi Isa, kerosakan yang dilakukan oleh Dajjal, kaum Yakjud dan Makjud dan sebagainya.
"Tetapi jika mereka mempergunakan agama bagi menyatakan tarikh sebenar kiamat, itu sebenarnya berlaku kesesatan dalam agama mereka sendiri.
"Begitu juga kepada umat Islam yang meramalkan tarikh kiamat atas nama Islam, maka itu dikira sesat dalam agama kita," kata Dr. Danial.
Tambah beliau, atas nama agama, manusia akan mencipta segala macam ramalan yang bukan-bukan yang tidak masuk akal.
Semua itu sebenarnya jika tidak berhati-hati merupakan permainan syaitan dan iblis.
Golongan yang membuat ramalan akan hari khiamat itu sebenarnya ada kepentingan tertentu yang bukan sahaja membawa faedah kepada diri mereka tetapi memberikan kemenangan kepada kuasa-kuasa jahat iblis dan syaitan yang suka menyesatkan manusia.
Sehingga berlaku penyembahan, sanggup melakukan korban supaya terselamat jika berlaku kiamat dan sanggup membunuh diri bagi mengelakkan azab ditimpa kiamat.
Semua itu, kata Dr. Danial adalah kesesatan kesan mempercayai kepada segala macam ramalan tersebut.
Mungkin tarikh kiamat yang kononnya berlaku hujung tahun hadapan sedikit sebanyak akan memberi iktibar dan satu peringatan keras yang membuatkan manusia supaya bersedia menghadapinya.
Ini termasuklah melakukan amal kebaikan, bertaubat, tidak melakukan maksiat, kuat beribadat dan sebagainya lagi.
Namun seperti yang ditegaskan oleh Dr. Danial, bagaimana jika selepas Disember 2012 itu, tidak berlaku kiamat? Bagaimana keadaan manusia yang telah melakukan pelbagai persediaan untuk menghadapi kiamat itu?
"Manusia pastinya akan gembira, mencampakkan segala amalan kebaikan untuk kembali berfoya-foya, tidak ingat Tuhan kerana kiamat tidak jadi.
"Seperti ada sambutan meriah apabila kiamat tidak berlaku," tegas beliau.
Sedangkan kata Dr. Danial, agama Islam telah lengkap dalam memperkatakan hari kiamat.
Hikmah tarikh kiamat dirahsiakan supaya manusia sentiasa bersedia secara jujur, ikhlas kerana percaya hidup di dunia hanya sementara kerana yang kekal adalah di akhirat.
"Justeru kehadiran 2012 esok lusa ini hendaklah 'disambut' dengan penuh keinsafan terutamanya semakin dekatnya kita kepada tanah perkuburan, persemadian abadi yang memutuskan segala amalan kita di dunia kecuali bekalan yang kita bawa akhirat kelak.
"Sama ada tahun hijri mahupun masihi hendaklah disambut dengan ibadah bukannya dengan keseronokan dan hiburan yang melampau kerana umur semakin meningkat dan kematian akan menjemput kita tanpa mengira masa dan keadaan.
"Bertambahnya tahun untuk kita hidup, bermakna Allah memberikan 'bonus', kelebihan masa dan waktu untuk kita menambahkan amalan kebaikan dan kebajikan. Malangnya sekalipun ada peringatan kononnya Kiamat tetapi saya yakin yang bakal di sambut sempena tahun baru 2012 adalah tetap mengikut nafsu," katanya.
Manusia harus menyedari kini bahawa masa kian dan semakin pantas berlalu.
Setahun 2011 yang berlalu begitu cepat sehinggakan manusia tidak sempat menyempurnakan pelbagai azam dan cita-cita.
"Jadi adakah masanya lagi untuk membuang-buang masa untuk perkara yang tidak berfaedah?
"Sekalipun kita merasakan kita begitu sibuk sehingga menyebabkan masa dirasakan begitu pantas berlalu, namun kebanyakan kita sibuk dengan aktiviti yang tujuannya adalah salah kerana kita mempunyai misi hidup yang salah," katanya.
Sedangkan manusia hendaklah istiqamah dalam perkara kebaikan dan konsisten dalam ibadah dengan misi hidup adalah mencari kemuliaan dan ketaqwaan di sisi Allah.
Bukan meletakkan sasaran kemuliaan di sisi manusia dengan mengejar pangkat, harta dan sebagainya.
Benarlah manusia itu kerugian dari aspek masa.
Sehinggalah Allah bersumpah sebagaimana dalam surah al-Asr: 1-3: Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Ramalan Tarikh Kiamat Jejas Akidah


GAMBARAN berlakunya kiamat dari filem Hollywood 2012.


BOLEH dikatakan seluruh penduduk dunia menjadi enigma dan mimpi ngeri apabila dikatakan dunia kian menuju hari-hari terakhirnya iaitu pada 12 Disember 2012 sebagai tarikh sakaratul dunia, atau lebih tepat kiamat.
Asalnya ia hanya momokan masyarakat barat kononnya mengikut perkiraan mereka, dunia kini hanya menanti detik dan waktu sahaja untuk musnah.
Apa yang dibimbangi barat itu merebak pada kadar yang perlahan namun berjaya menyakinkan orang ramai dalam pelbagai bentuk terutamanya buku, makalah dan lawan sesawang. Kemuncak momokan itu apabila filem blockbuster Hollywood berjudul 2012 yang menjadi hantu besar menakutkan manusia kepastian Kiamat pada 2012. Filem itu sebenarnya diilhamkan daripada kiraan kalendar kuno kaum Maya (Long Count Calendar) yang kononnya pada tarikh 12 Disember tahun hadapan, dunia akan hancur.
Akan berlaku malapetaka alam yang maha dahsyat, yang tidak pernah terfikir dan terbayangkan oleh manusia.
Ini termasuklah gelombang tsunami gergasi yang berpuluh kali ganda lebih dahsyat dan lebih ngeri berbanding melanda Aceh, Indonesia hingga menelan ratusan ribu nyawa tujuh tahun lalu.
Ia ditambah dengan hentaman-hentaman objek asing dari angkasa, terutamanya asteroid yang kekuatannya juga mengalahkan mana-mana ledakan bom nuklear.
Semua itu kononnya berlaku kesan daripada jajaran planet Pluto dan Bumi yang selari dalam pusingan orbit dan sebagainya yang kesemuanya bakal terjadi sekitar Disember 2012.
Walaupun semua ini sekadar ramalan yang didakwa disokong penemuan saintifik dan ilmiah, namun bukan sedikit kesannya kepada manusia.
Natijahnya, ramai daripada kita seolah-olah berada di persimpangan yang cukup memeningkan kepala. Antara mahu percaya atau tidak. Benarkah tahun 2012 akan berakhirlah jangka hayat bumi ini? Yang turut bermakna berakhirnya juga jangka hayat manusia?
Pendakwah terkenal, Dr. Danial Zainal Abidin bagaimanapun meminta umat Islam supaya tidak sedikit pun memberikan ruang di hati dan minda mereka untuk mempercayai ramalan tarikh kiamat yang jangkanya berlaku hanya setahun daripada sekarang.
"Jika percaya kepada semua itu, dibimbangi ia boleh merosakkan akidah mereka sendiri kerana akan mudah terjebak dengan segala macam unsur syirik dan khurafat.
"Semua itu hanya sekadar ramalan yang lazimnya tidak ada asas dan bukti apa pun untuk kita percaya.
"Tidak sahaja dalam soal ramalan kiamat. Malah dalam apa juga ramalan-ramalan masa depan yang kononnya akan berlaku sebarang tragedi dan peristiwa-peristiwa besar yang di luar dugaan manusia untuk berlaku," katanya.
Dalam Islam kata Dr. Danial, ditekankan dalil dan nas pembuktian dalam apa juga perkara termasuk perkara-perkara ghaib terutamanya hari kiamat.
Dua teks sama ada dari dalil al-Quran dan hadis Rasulullah sudah cukup bagi melindungi fahaman umat Islam daripada pelbagai ramalan mengenai hari kiamat.
Ayat berikut misalnya adalah satu dalil yang paling kuat dalam memperkatakan soal kedatangan hari kiamat.
"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut." Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-A'raaf: 187).

Koperasi Di Semua 491 Masjid

KUALA TERENGGANU 29 Dis. - Menerusi konsep 1Kampung 1Koperasi, kerajaan Terengganu menyasarkan untuk menubuhkan koperasi di semua 491 masjid di negeri itu dalam tempoh lima tahun.
Pengerusi Jawatankausa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera berkata, dianggarkan 100 buah masjid di negeri itu akan menubuhkan koperasi masing-masing setiap tahun.
"Setiap masjid yang menubuhkan koperasi, kerajaan akan bagi geran sebagai bantuan sebanyak RM10,000. Dengan bantuan itu koperasi berkenaan bolehlah bergerak untuk buat bayaran pengurusan, beli peralatan, pejabat dan sebagainya.
"Malah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sendiri menyediakan pinjaman kepada koperasi sehingga RM10 juta untuk dijadikan modal jika ia ada projek yang hendak dijalankan," katanya pada bengkel penubuhan Koperasi Khairiah Masjid daerah Kuala Terengganu di sini hari ini yang melibatkan 150 ahli jawatankausa masjid daerah itu.
Ahmad berkata, kerajaan melihat masjid merupakan institusi yang berpotensi untuk mewujudkan koperasi bagi meningkatkan ekonomi di sesuatu kariah.
Katanya, dengan adanya koperasi di setiap masjid, ia boleh menyediakan bahan-bahan yang diperlukan oleh kariah di kawasan berkenaan.
Ahmad menjelaskan, modal untuk menggerakkan koperasi datangnya dari sumbangan ahli.
"Kita tidak ambil duit masjid untuk dijadikan modal. Modal kita adalah sumbangan daripada ahli keperasi itu sendiri," katanya.
Bengkel yang diadakan itu merupakan yang terakhir daripada tujuh siri penerangan yang diadakan di seluruh negeri tahun ini yang bertujuan memberi penjelasan kepada ahli jawatankuasa masjid mengenai penubuhan koperasi. — BERNAMA

Wednesday, 28 December 2011

IkhlasTingkat Ketakwaan Muslim

2011/12/29

Jujur laksana tanggungjawab, ibadat tugas utama manusia

BELUM terlewat kita ambangkan 2012 dengan penuh insaf dan syukur. Segala yang berlaku menjadi pengajaran. Untuk tahun baru, tentu azam dan perancangan dinobat lagi, tidak lain dan tidak bukan merealisasikan hasrat dan tekad baru, semoga ia menjanjikan kehidupan lebih baik daripada sebelumnya.

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT.

Sebagai makhluk menjunjung tugas khalifah, setiap manusia tidak terlepas daripada tanggungjawab kepada Yang Maha Mencipta, sesama manusia dan makhluk serta diri sendiri. Semuanya semata-mata ketaatan kepada Allah SWT
Tujuan diciptakan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini semata-mata untuk beribadah kepada Allah SWT. Apa juga tindak tanduk bukan ibadat ialah perbuatan sia-sia dan tidak mendapat ganjaran kebaikan di akhirat kelak, bahkan hanya menjadi amalan diri sendiri, sedangkan pekerjaan dilakukan dengan susah payah boleh menjadi ibadat dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Itulah kelebihan orang bekerja. Selain mendapat upah dan meningkatkan kemahiran, kerja dilakukan dengan penuh keikhlasan dan terjaga dalam batas syariat dianggap ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah serta memungkinkan terpilih bersama golongan beruntung di akhirat.

Beribadah bukan saja tertakluk kepada solat, puasa, menunaikan zakat dan haji tetapi meliputi semua perbuatan termasuk menuntut ilmu, mengajar, berjual beli, mentadbir, berpolitik hatta makan dan minum, asalkan ia dilakukan kerana takut kepada Allah. Kerja bukanlah semata-mata menuntut kita berada di pejabat. Ia bukan juga memerlukan kelulusan tinggi.

Ia tidak termasuk usaha mencuri, merompak atau membunuh kerana ia bukan usaha dilakukan untuk menjadikan sesuatu itu lebih baik daripada sebelumnya. Dalam bidang pendidikan contohnya, sudah tentu mereka yang menuntut ilmu berhasrat menjadi orang arif sekali gus membebaskannya daripada belenggu kejahilan dan nafsu jahat yang menjadikannya sombong kepada Allah.
Begitu juga orang yang mengajar, mereka sedaya upaya mendidik sesiapa saja yang memerlukan ilmu agar mereka keluar daripada kepompong kejahilan dan hawa nafsu, dan menambahkan umat yang patuh kepada perintah Allah, bersandarkan ilmu diperoleh. Mereka menjadikan kerjaya mengajar sebagai ibadat tidak akan mengajar untuk mendapat gaji bulanan dan bonus tahunan, atau dinaikkan pangkat dan berkira dengan titik peluh atau masa perlu dilaburkan melebihi sepatutnya. Ini kerana mereka pasti keikhlasan menabur bakti akan mengakrabkan diri kepada Allah dan menjadi nilai tambah dalam kewajipan sedia ada.

Paling utama ialah kerja dilakukan isteri atau ibu yang merangkumi komitmen dalam sfera awam dan domestik. Sebagai pekerja bertanggungjawab dalam bidang tertentu, isteri atau ibu akan bertugas seperti orang lain untuk memenuhi objektif, misi dan visi organisasi, manakala dalam masa sama mereka juga perlu memberikan komitmen tinggi kepada tugas domestik, untuk memenuhi keperluan setiap ahli keluarga. Bebanan kerja yang tinggi dan waktu bekerja tidak terbatas bukan boleh dilakukan semua orang.

Perlu kita ingat bertambah atau berkurangnya komitmen kita dalam bekerja tidak akan memberi kesan langsung kepada Dia yang menyuruh kita melakukan kerja sebagai ibadat.

Allah tidak mengharapkan walau satu sen pun daripada upah kita berkerja, sebaliknya semuanya adalah untuk kita sendiri, bahkan sekiranya kita menjadikan kerja sebagai ibadat, kita mendapat manfaat daripadanya pada hari pengadilan kelak.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Dan ingatlah Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya”. (Surah Az-Zaariyaat ayat 56-58)

Allah memandang rendah kepada orang yang tidak bekerja. Mereka sentiasa meminta-minta dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara, bahkan menjadi beban kepada orang lain, sedangkan sesiapa yang berusaha mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang lain termasuklah kedua ibu bapanya adalah jihad fisabilillah.
ARKIB : 28/12/2011
 

Ketokohan Sheikh Amir Sayyid Uthman


Imam Besar Masjid Amru Al-Ash, di Kaherah, Mesir, Syeikh Muhammad Sayyid Hasanin Jibril (kiri) atau lebih dikenali dengan nama Sheikh Jibril yang terkenal dengan kemerduan bacaan Al-qurannya dan antara yang pernah menjadi anak murid kepada tokoh Al-Quran yang sangat terkenal iaitu Sheikh Amir bin Sayyid Uthman.


SEORANG tokoh Quran yang masyhur di zamannya dan mempunyai ramai murid yang berkaliber dalam ilmu al-Quran ialah Sheikh Amir bin Sayyid Uthman. Beliau dilahirkan di Mesir pada tahun 1900 Masihi.
Sheikh Amir menghafaz al-Quran semasa kecil dengan seorang guru yang bernama Sheikh Atiyyah Salamah iaitu pada tahun 1911.
Seterusnya beliau mendalami ilmu tajwid, Qiraat Sepuluh melalui tariq Syatibiyyah dan Durrah dengan guru yang bernama Sheikh Ibrahim Musa Bakr al-Bannasi.
Semasa di Kaherah, Sheikh Amir mendalami Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang pakar dalam bidang itu iaitu Sheikh Ali Ibn Abdulrahman al-Subayyi'. Bagaimanapun, ketika beliau membaca ayat 41 surah Hud, Juzuk 12, Sheikh Ali Subaiyyi' meninggal dunia.
Semangatnya tidak patah dengan kematian gurunya. Beliau memulakan semula talaqqi Qiraat Sepuluh Kubra dengan seorang murid kanan Syeikh Ali Subayyi' iaitu Sheikh Hummam Qutb Abdul Hadi. Seterusnya, berjaya memperolehi ijazah pada tahun 1927.
Pada pengajian di peringkat ijazah, Sheikh Amir berjaya menguasai ilmu syariah dan bahasa arab di Universiti Azhar. Setelah menguasai banyak ilmu, Sheikh Amir mula mengajar al-Quran dan qiraat di rumahnya.
Beliau juga berkhidmat sebagai guru qiraat di Fakulti Bahasa Arab di Universiti al-Azhar iaitu antara tahun 1945 hingga tahun 1968.
Seorang muridnya, Sheikh Ibrahim Akhdar yang memegang jawatan Sheikh Qurra Masjid Nabi di Madinah dalam satu temu bualnya memuji kehebatan Sheikh Amir.
Beliau menyatakan Syeikh Amir seorang yang alim dalam bidang al-Quran dan qiraat dan menghabiskan masanya dengan mengajar Quran. Pada setiap masa, ada sahaja orang yang membaca al-Quran di hadapan Sheikh Amir hatta ketika beliau menunggu teksi atau ketika musafir dalam kapal terbang sekalipun.
Antara Sheikh terkenal yang talaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir ialah Sheikh Mahmud Khalil Husari, Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Basit, Dr. Aiman Suwaid, Dr. Ali Huzaifi dan ramai lagi.
Sheikh Amir dilantik sebagai Sheikh Qurra Mesir pada tahun 1980 menggantikan Sheikh Khalil Husari yang meninggal dunia pada tahun tersebut.
Pada waktu yang sama beliau dilantik sebagai penasihat dan anggota lajnah tashih al-Quran di Mujjama' Malik Fahd, Madinah al-Munawwarah.
Sheikh Jibril yang selalu datang ke Malaysia juga pernah bertalaqqi al-Quran dengan Sheikh Amir. Beliau menceritakan hari-hari terakhir Sheikh Amir di Madinah sebelum kematiannya.
Semasa berada di wad hospital, Sheikh Amir membaca al-Quran sehingga khatam dan memulakan surah al-Fatihah serta lima ayat surah al-Baqarah. Sejurus selepas itu beliau meninggal dunia.
Urusan pengkebumian Sheikh Amir mengalami sedikit masalah pada mulanya kerana beliau meninggal dunia pada hari cuti dan pasport serta dokumen pengenalan dirinya dipegang pihak majikan.
Ia menyebabkan pihak polis menolak urusan pengkebumian kerana tidak mempunyai dokumen lengkap. Bagaimanapun, anaknya Ibrahim terpandang mushaf al-Quran di atas meja ketua polis tersebut dan membuka mushaf seraya berkata inilah dokumen pengenalan ayahnya.
Nama Sheikh Amir Sayyid Uthman teratas dalam senarai nama lajnah tashih al-Quran. Ketua polis tersebut menangis dan memberi layanan terbaik untuk urusan pengkebumian Sheikh Amir.
Semasa jenazahnya dibawa ke Masjid Nabi, Sheikh Ibrahim Akhdar imam masjid Nabi ketika itu, terpandang Ibrahim anak Sheikh Amir menangis dan bertanya kenapa menangis. Beliau menjawab, ayahnya meninggal dunia.
Sheikh Ibrahim marah kepadanya kerana tidak memaklumkan kematian Sheikh Amir. Solat jenazah diimamkan oleh al-Allamah Sheikh Salih ketua imam Masjid Nabi.
Seterusnya jenazah Sheikh Amir dikebumikan di perkuburan Baqi' bersama dengan para sahabat, syuhada dan salihin.

Akhlak Suami Bawa Pengislaman Kari

TIAP kali tibanya sambutan Krismas, Kari Ansar seolah-olah memutar kembali ingatan pada masa yang silam. Kenangan silam itu hanyalah menikmati suasana musim sejuk yang menjadi hiasan di dalam rumah walaupun cuaca di luar tidaklah sedingin mana.
Menyanyi sepanjang hari dan menikmati makanan yang enak-enak. Tidak ada sebarang ritual ibadat yang dilakukan oleh mereka sekeluarga.
Kali ini setelah memeluk Islam, kedatangan Krismas masih memberi makna yang cukup besar kepadanya.
Krismas mengingatkan beliau terhadap Nabi Isa dan terutamanya pengorbanan ibu baginda menerusi surah Mariam.
"Terutama kandungan ayat 16-29 dari surah itu yang menjelaskan mengenai kelahiran baginda, yang mampu memberikan semangat dan keimanan baru kepada saya.
"Ketabahan Siti Mariam menerima suratan takdir adalah sungguh luar biasa," katanya.
Bagi Kari, surah Mariam dalam al-Quran itu mempunyai erti yang tersendiri dan sangat istimewa.
Katanya, jika ada pihak yang bertanyakan bagaimana Islam menghargai akan wanita, maka lihat sahaja pada surah tersebut.
"Agama mana di dunia ini yang menjadikan nama seorang perempuan sebagai bab yang tersendiri dalam kitab sucinya," ujar Kari.
Kari adalah seorang wartawan, kolumnis dan editor America's Family Muslim, sebuah majalah Islam yang sangat terkenal di Amerika Syarikat (AS) dan penulis blog Muslim Family Bookshelf. Beliau juga juga merupakan salah seorang pengasas penubuhan Yayasan Muslim Family Life.
Mula diterbitkan pada tahun 2003, majalah tersebut bertujuan mengisi keperluan media bersifat dan bercirikan Islam di AS.
Menghidangkan pemandangan-pemandangan positif dan segar mengenai Islam untuk tatapan pembaca tanpa mengira agama dan latar belakang.
Bagaimanakah Kari begitu komited hidupnya kini terhadap Islam? Sedangkan sebelum ini baginya hidup ini adalah mencukupi dan dilihat 'sempurna' tanpa perlu memeluk agama apa pun, asalkan sahaja kita menjadi seorang yang baik!
Beliau dibesarkan di California Selatan dalam sebuah keluarga Kristian yang kurang mengamalkan ajaran agama itu.
Kari juga hanya menghafal lagu-lagu keagamaan dan beberapa kali sahaja ke gereja pada hujung-hujung minggu.
"Selebihnya ketika di rumah kami tidak pernah membicarakan soal keagamaan secara serius dan saya masih ingat apabila bapa tiri saya menegur saya: Kari, adakah awak menumpahkan susu di atas meja ini? Jangan tak mengaku sebab Jesus (Nabi Isa) akan tahu kalau awak berbohong!
"Jesus tahu, tetapi tidak ada penjelasan lanjut apa akibatnya jika Jesus tahu saya berbohong maka semua ini hanya tinggal tergantung di udara begitu sahaja tanpa sebarang penjelasan," jelasnya.
Sementara ibu Kari pula tidak begitu selesa berbicara soal agama kecuali meminta Kari mencari sendiri segala jawapan melalui buku-buku dan risalah-risalah agama.
"Jadi saya mempelajari mengenai Kristianisasi melalui buku misalnya, The Golden Children's Bible yang saya baca berulang-ulang kali terutama kisah-kisah nabi, seperti Nabi Ibrahim, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Sulaiman, Nabi Daud, Nabi Yusuf dan Nabi Isa.
"Tetapi saya rasa ada kekurangannya kerana saya tidak jumpa hubungannya antara kisah-kisah nabi itu dari aspek konteks dan kesesuaiannya dengan kehidupan saya, jadi bagi saya kisah-kisah nabi tersebut hanya sekadar kisah atau cerita sahaja, tidak lebih daripada itu," katanya.
Ketika umur menjelang dewasa, Kari mengambil keputusan tidak memilih mana-mana agama untuk dianuti, jauh sekali untuk kekal dalam Kristian.
"Selagi saya menjadi seorang yang baik dan menjalani kehidupan beretika, pastinya Tuhan akan mencintai saya," ujar beliau.
Kari kemudiannya mendirikan rumahtangga, memiliki dan berjaya dalam kerjaya ditambah dengan kelahiran putera sulung yang baginya semua ini begitu berharga.
Tetapi beliau sedar segala yang dimiliki ini tidak memberi kepuasan kepada jiwa dan ketenangan pada hatinya.
Pada usia 30 tahun, Kari akhirnya bercerai dan menjadi ibu tunggal kepada seorang anak lelaki.
Beliau akhirnya bertemu jejaka iaitu seorang seniman yang berasal dari Bombay, India bernama Ahmed.

OKU Akui Didekati Gerakan Memurtadkan Mereka

KUALA LUMPUR 28 Dis. - Beberapa persatuan orang kelainan upaya (OKU) mengakui kewujudan kumpulan dan gerakan yang mahu memurtadkan umat Islam dengan sering mendekati mereka.
Yang Dipertua Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Zakaria Yahya berkata, beliau sendiri pernah didekati pihak tertentu sebelum ditawarkan biasiswa oleh kerajaan ketika berusia 18 tahun.
"Pada mulanya saya tidak ditawarkan bantuan biasiswa oleh kerajaan bagi menyambung pelajaran ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), namun muncul seorang lelaki yang sudi menghulurkan bantuan.
"Lelaki itu turut memberi bantuan persekolahan seperti membelikan buku-buku teks dan rujukan, baju sekolah, kasut sekolah dan membiayai kelas tambahan," katanya yang kini bekerja sebagai guru kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Zakaria, 44, mengulas kenyataan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang mengesan gerakan pihak tertentu yang kini aktif dalam misi memurtadkan umat Islam negeri ini termasuk dalam OKU.
Selain golongan itu dijadikan sasaran, gerakan tersebut turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.
Jelas Zakaria, beliau berhenti menerima bantuan daripada lelaki itu selepas enam bulan mendapat tawaran biasiswa kerajaan.
"Gerakan pihak tertentu dalam usaha memurtadkan golongan OKU sangat berleluasa dan ia bukan lagi perkara baru. Malangnya, mereka lebih prihatin dan mengambil berat terhadap kami berbanding pihak yang sama agama," katanya.
Sementara itu, Pengurus Yayasan Orang Kurang Upaya Kelantan, Sulaini Mat Il berkata, walaupun negeri itu ramai yang beragama Islam, mereka tetap menerima kunjungan dan bantuan daripada penganut agama lain.
"Bagaimanapun mereka tidak boleh memberi bantuan itu terus kepada ahli sebaliknya perlu diserahkan kepada kami bagi mengelakkan mereka berhubung dengan ahli.
"Punca utama golongan OKU sering menjadi sasaran dalam kes murtad adalah kerana kurang mendapat didikan agama selain tidak banyak kelas agama yang disediakan," katanya.
Beliau menambah, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat menyediakan kelas mengaji al-Quran dan agama untuk golongan OKU bagi membimbing akidah mereka.
Turut menyokong kenyataan Sulaini, Setiausaha Agung Persatuan Orang Cacat Anggota Malaysia (Pocam), Miskan Kasiman yang berkata, kebanyakan OKU tidak mempunyai pendidikan agama yang tinggi menyebabkan mereka mudah terpengaruh terhadap gerakan tersebut.
"Gerakan itu pandai mengambil hati golongan OKU dengan bantuan yang mereka hulurkan seperti membawa ke pusat beli-belah dan menemani mereka ke klinik.
"Apabila mereka sukar mendapat bantuan daripada pihak yang sepatutnya, usaha memujuk golongan OKU untuk keluar daripada agama Islam menjadi lebih mudah," katanya.

Tuesday, 27 December 2011

Serambi Masjid: Mercu tanda Islam Jerman

MASJID Schwetzingen di Jerman kini tidak lagi berperanan sebagai sebuah masjid. Dulunya masjid yang tersergam indah lagi mewah itu terletak di dalam Kompleks Istana Schwetzingen sebelum pemerintah negara itu menjadikannya muzium masjid. Sebagai bangunan tinggalan sejarah, ia sering menjadi tumpuan pelancong yang datang untuk melihat dari dekat keunikan, kemewahan serta kehalusan seni binanya. Ia adalah masjid pertama yang dibangunkan di Jerman pada 1740 iaitu ketika zaman pemerintahan Raja Rom, Frederick II.

Pembinaan masjid itu juga hasil toleransi dan hubungan antara agama. Antara isu sejarah yang berlegar di kalangan masyarakat, masjid itu dibina sebagai hadiah kepada salah seorang isteri raja yang berasal dari Turki yang beragama Islam.

Terdapat desas-desus lain yang berkembang luas di kalangan masyarakatnya iaitu salah seorang bangsawan yang hidup pada masa itu adalah seorang Muslim.

Masjid Scwetzingen dirancang dan dibangunkan arkitek berbangsa Perancis, Nicolas de Pigage. Proses pembinaan Masjid Schwetzingen mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan.
Keindahannya tidak boleh disangkal lagi kerana ia menjadi satu-satunya masjid dalam taman pada abad ke-18 di Eropah.

Taman yang berada di sekeliling bangunan masjid menghasilkan konsep taman di Turki. Pesona seni bina Timur begitu jelas apabila pengunjung melihat dari luar bangunan Masjid Schwetzingen. Gaya oriental juga cukup ketara pada bahagian dalaman masjid dengan menggunakan kemasan mozek dan marmar mewah di lantai pada ruang tengahnya.

Permukaan dinding dalam masjid turut dihiasi lukisan bersalut emas manakala ayat al-Quran dihiasi di bahagian luar dinding dan kubah. Seperti masjid lain yang dibina pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniah, masjid Schwetzingen turut dilengkapi menara gaya khas Turki Uthmani. Sejarah juga mencatatkan, pada zaman Turki Uthmani, agama Islam tersebar ke serata benua Eropah.

Namun Islam hanya berjaya masuk ke Jerman pada 1700 hingga 1800 yang diperkenalkan pendatang dari Turki. Ketika itu, perkembangan agama Islam di Jerman cukup memberangsangkan.

Pada 1989, satu kajian yang dilakukan sebuah organisasi Islam di sana mendapati, lebih 10,000 orang Jerman memeluk Islam. Pada 2006, jumlah penduduk Muslim di Jerman mencapai lebih 3 juta daripada populasi keseluruhan penduduknya.

Berdasarkan perkembangan itu, sehingga kini terdapat lebih 2,000 masjid di Jerman, malah pembinaan masjid baru semakin meningkat. Masjid Schwetzingen adalah bangunan terbesar pertama yang menggabungkan gaya dan seni bina oriental dan Islam di negara berbahasa Jerman itu.

Akta Murtad Lindungi Islam

Sikap terbuka punca wujud gerakan persenda agama

SEBELUM ini, umat Melayu Islam mungkin bersikap acuh tidak acuh terhadap kewujudan undang-undang berkaitan pencegahan murtad di sebahagian besar negeri di negara ini sejak 1980-an.
Sikap itu mungkin disebabkan selama ini mereka menganggap tiada pihak yang mungkin sanggup mengganggu atau menceroboh kesucian agama Islam kerana majoriti penduduk negara ini adalah orang Melayu beragama Islam.
Selama itu juga, umat Islam mungkin mengandaikan kedudukan agama Islam di Malaysia tetap utuh terpelihara selama-lamanya.

Tidak dinafikan perasaan terbuka mengamalkan konsep toleransi dalam beragama seperti dianjurkan ajaran Islam itu sendiri juga mendorong umat Islam tidak begitu mengambil kisah terhadap gerakan dakwah agama lain di negara ini.

Namun, mimpi indah toleransi agama di negara ini tidak semanis yang disangka kerana dalam era dunia tanpa sempadan ini, gerakan penyebaran agama bukan Islam terhadap orang Islam turut mengambil bahagian bersama kedatangan globalisasi.

Globalisasi yang didatangkan bersama pakej perjuangan menuntut kebebasan hak asasi dan demokrasi ala-Barat, turut merancakkan juga gerakan memurtadkan umat Islam di negara ini tanpa berselindung lagi.
Seterusnya, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang kurang memihak kepada kerajaan memerintah seolah-olah menjadi kunci azimat kepada gerakan memurtadkan umat Islam ini membuka lebih luas pintu bagi mereka meningkatkan usaha yang tidak dapat ditepis pihak berkuasa agama Islam.

Selain gerakan murtad menjadi agresif, muncul pula badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat suntikan dana antarabangsa memperjuangkan kebebasan hak asasi manusia memperjuangkan agenda kebebasan beragama di negara ini.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa dicabar secara fizikal dan literal tanpa berselindung.

Entah berapa kali kesucian Islam disentuh dan diusik tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam seperti mendesak supaya masjid dan surau tidak melaungkan azan terlalu nyaring terutama pada waktu Subuh, membaling kepala khinzir dan menyimbah air najis di surau di samping menuntut peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk menguruskan tempat ibadat bukan Islam melebihi peruntukan masjid dan surau di seluruh negara.

Ia termasuk menuntut Injil berbahasa Melayu dibenarkan diedarkan di negara ini, memohon penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam, menuntut Suruhanjaya Antara Agama (IFC) ditubuhkan secara simboliknya bertujuan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain, selain membuang status agama pada kad pengenalan.

Lebih pedih lagi bagi umat Islam, insiden menghina Islam dan memurtadkan sekumpulan umat Islam di pusat komuniti di Damansara Utama yang dijadikan gereja pada Ramadan lalu membuktikan keberanian pihak terbabit mempersendakan agama Islam secara terbuka walaupun di tempat tertutup.

Rentetan itu, timbul desakan supaya Akta Murtad diwujudkan khusus mencegah dan membendung gejala murtad serta kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan timbul bolehkah Akta Murtad diwujudkan kerana berdasarkan kepada realiti perundangan di negara ini, isu berkaitan agama Islam berada di bawah payung Sultan atau Raja dan kerajaan negeri.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berpendapat Akta Murtad boleh diwujudkan tanpa perlu membabitkan kerajaan negeri atau jabatan agama Islam negeri (JAIN), tetapi menerusi Parlimen kerana Perkara 3(1) Perlembagaan menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini pernah berkata, secara prinsipnya undang-undang berkaitan mencegah atau menghalang bukan Islam berdakwah dan menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam boleh diselesaikan berpandukan dalam enakmen agama negeri-negeri.

Bagi meredakan kegelisahan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini menegaskan sudah tiba masa undang-undang berkaitan pencegahan murtad yang diwujudkan di sebahagian besar negeri di Malaysia sejak 1980-an dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurut beliau, enakmen berkaitan murtad sudah diwujudkan lama dulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap tidak ada peruntukan undang-undang berkaitan isu itu.

Namun bagi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Samsuddin, beliau berpendapat satu mekanisme bersama perlu diwujudkan bagi menangani isu murtad, antaranya mengadakan dialog antara agama, program pendidikan dan penerangan untuk menyedarkan umat Islam dan bukan Islam mengenai kebebasan beragama mengikut Perlembagaan.

“Sememangnya kita sedar gerakan memurtadkan umat Islam ini amat membahayakan realiti kehidupan kita. Namun, bagi umat Islam itu sendiri, kita perlu mempunyai kekuatan dalaman iaitu keutuhan pegangan akidah.

“Gerakan dakwah juga perlu diperkukuhkan dan konsisten terhadap umat Islam serta tidak harus menunggu berlaku sesuatu isu menyentuh kesucian Islam baru hendak diaktifkan,” katanya.

Azam Baik Tidak Perlu Tunggu Tahun Baru Untuk Diterap

ISLAM tidak menegah acara sambutan tahun baru asalkan aktiviti sambutan yang dilakukan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Ironinya, amat mendu-kacitakan sambutan tahun baru kebanyakannya bercanggah dengan syariat Islam dan budaya Melayu. Banyak acara hiburan, tari menari, percampuran bebas lelaki perempuan, minum arak dan keriangan mengasyikkan.

Fenomena ini perlu dibendung, bukan saja masa sambutan, bahkan pada bila-bila masa. Islam mementingkan hidup berlandaskan syariat untuk mencegah perkara buruk.
Muda mudi kita terikut-ikut dengan budaya masyarakat lain yang berpunca daripada kelemahan pegangan akidah. Pengaruh asing yang masuk melalui media massa dan pengalaman hidup di luar negara, serta kegagalan menanam kefahaman agama menjadi punca keruntuhan moral anak muda yang semakin parah. 

Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya. - Surah an-Nisa, Ayat 60) 
 
Syaitan sentiasa mengambil kesempatan menyesatkan manusia dengan pelbagai cara, termasuk aktiviti seperti sambutan tahunan itu. Tugas syaitan menjadi mudah kerana ‘budaya’ dan ‘kebiasaan’ diamalkan setiap tahun menjadi ikutan tanpa syaitan perlu berkerja keras memujuk manusia melakukan kejahatan dan dosa.

Syaitan mahu menyesatkan seseorang dengan kesesatan yang paling berat. Sebab itu setiap kejahatan yang dilakukan akan berulang dan ditambah pula dengan kesalahan lain. Manusia yang tunduk dengan hasutan syaitan merasa bangga melakukan kejahatan dengan alasan untuk rasa gembira.

Firman Allah bermaksud: “Dan syaitan bermaksud menyesatkan manusia dengan sesat yang sejauh-jauhnya.” – (Surah an-Nisa, ayat 60)

Hanya orang benar-benar beriman dan bertakwa mampu menangkis segala serangan dan hasutan syaitan biarpun tidak melihat di mana syaitan itu berada. Hidup dalam era moden ini mendedahkan manusia dengan jerat syaitan yang sesuai dengan budaya hidup diamalkan masyarakat lain.
Kejatuhan sesebuah bangsa dan negara berpunca daripada musnahnya nilai murni dalam amalan hidup rakyatnya. Masalah ini akan menjadi parah jika pencegahan dan pemulihan awal tidak dilakukan segera.

Sambutan tahun baru hendaklah dilakukan dengan menerima hakikat bahawa kita telah memasuki satu tempoh fasa baru yang memerlukan semangat, iltizam dan cita-cita untuk menghadapinya.

Orang Islam perlu menyambut tahun baru dengan identiti yang membanggakan. Jauhkan diri daripada terikut-ikut dengan sambutan yang dilakukan oleh penganut agama lain. Sabda Rasulullah bermaksud: “Bahawa sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka” (Hadis riwayat Abu Daud).

Harapnya kita semua termasuk dalam golongan yang beruntung di dunia dan akhirat. Masa yang berlalu dipenuhi dengan amal kebaikan dan masa bakal ditempuh pula dirancang untuk diisi dengan amalan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Allah memberi peringatan agar mementingkan masa. Maksud firman Allah: “Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” – (Surah al-Ashr, ayat 1 hingga 3)

Tahun baru sepatutnya dijadikan sebagai kayu pengukur kepada apa yang sudah dilalui sepanjang setahun. Berdasarkan apa yang berlaku sepanjang tahun, mudahlah untuk merancang sesuatu lebih baik untuk tahun seterusnya.

Berusaha mengubah kepada lebih baik perlu menjadi matlamat Muslim setiap masa. Sesiapa yang hidupnya hari ini tidak berubah menjadi lebih baik daripada semalam, bermakna telah mempersia-siakan peluang hidup pada hari sebelumnya.

Namun, azam baik tidak seharusnya ditunggu hanya apabila sambutan tahun baru. Setiap masa kita dituntut untuk melakukan sesuatu yang lebih baik berbanding sebelumnya. Jika sudah melakukan kesilapan, segera memperbaikinya.

Sekiranya ia membabitkan dosa, sebaik menyedarinya hendaklah terus bertaubat yang menjadi lambang atau tanda tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu. Salah satu tanda taubat ialah berazam meninggalkan amalan buruk dan beralih melakukan perbuatan baik.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambahlah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)

JHEAT Kesan Usaha Aktif Murtadkan Umat Islam Bermasalah

KUALA TERENGGANU 27 Dis. - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesan gerakan pihak tertentu yang kini aktif dalam misi memurtadkan umat Islam negeri ini termasuk dalam kalangan orang kurang upaya (OKU).
Selain golongan itu dijadikan sasaran, gerakan itu turut menyusup ke hospital-hospital untuk memperdaya pesakit yang sebatang kara selain mat rempit dan golongan tidak berkemampuan.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Mohd. Rozali Saleh ketika mendedahkan perkara itu berkata, beliau sangat bimbang dengan gejala itu dan tindakan sewajarnya akan diambil bagi membendungnya daripada menjadi bertambah serius.
Beliau menjelaskan, kumpulan berkenaan dikesan mendekati orang Melayu yang bermasalah atau terpinggir daripada masyarakat termasuk orang pekak, pesakit, mat rempit, penagih dadah serta orang kurang siuman.
"Mereka mendekati orang pekak sambil memberi mangsa hadiah dan lambang agama mereka yang kemudiannya disimpan di dalam poket. Ada juga yang sanggup lekat tatu di badan mereka.
"Semua ini boleh menyebabkan mereka (umat Islam) lari akidah sekali gus terkeluar daripada agama Islam. Kita risau kerana kumpulan itu sangat aktif dengan menjadikan OKU khususnya yang pekak sebagai sasaran," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Kursus Pengenalan Bahasa Isyarat Kepada Penjawat Awam Siri 1/2011 di sini hari ini yang bermula semalam.
Program julung kali itu yang dianjurkan JHEAT dengan kerjasama pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Pekak Terengganu disertai seramai 130 orang peserta.
Mohd. Rozali berkata, gerakan tersebut turut menjadikan golongan belia melepak sebagai sasaran untuk dimurtadkan.
Beliau mengakui pada masa ini pihaknya menerima beberapa aduan mengenai kewujudan gejala tersebut di Terengganu yang dikesan bergerak dalam kumpulan kecil sambil menunggang basikal.
Jelas beliau, ada pengakuan daripada mangsa bahawa mereka terpaksa menerima habuan berupa wang tunai daripada gerakan terbabit setelah mengalami kesempitan hidup sebelum keluar Islam.
"Malah kita juga menerima maklumat daripada jururawat dan doktor di hospital yang musykil dengan tindakan pihak terbabit yang mendapatkan maklumat peribadi pesakit secara terperinci," ujarnya.

Monday, 26 December 2011

Al-Quran Bongkar Rahsia Pembinaan Piramid


Pembongkaran misteri piramid adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu.


FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan berkatalah Firaun: Wahai kaumku, aku tidak mengetahui Tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah wahai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi agar aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia (Musa) orang-orang pendusta. (al-Qasas: 38).
Daripada penjelasan ayat al-Quran di atas jelaslah bahawa selama ini manusia menjadi hairan dan kagum bagaimanakah bangunan-bangunan yang dibinakan oleh Firaun iaitu piramid dapat berdiri megah dan perkasa di bumi Mesir pada zaman pemerintahannya hingga kini.
Apakah rahsia di sebalik pembinaan piramid itu?
Akhbar Amerika Times edisi 1 Disember 2006, telah menyiarkan berita saintifik yang mengesahkan bahawa Firaun telah menggunakan tanah liat untuk membina piramid. Menurut kajian tersebut, disebutkan bahawa batu-batu yang digunakan untuk membuat piramid adalah daripada tanah liat yang dipanaskan sehingga membentuk batuan keras yang sukar dibezakan dengan batu asalnya.
Para saintis mengatakan bahawa Firaun mahir dalam bidang ilmu kimia dalam menguruskan tanah liat sehingga menjadi batu. Teknik yang mereka gunakan sangat misteri jika dilihat dari kodifikasi nombor di batu yang mereka tinggalkan.
Profesor Gilles Hug dan Dr. Michael Barsoum, menegaskan bahawa piramid yang paling besar di Giza, dibuat daripada dua jenis batuan yang terdiri daripada batu semula jadi dan batu-batu yang dibuat secara manual hasil daripada olahan tanah liat.
Baru-baru ini majalah Journal of American Ceramic Society memaparkan artikel kajian mengenai bagaimanakah Firaun membina piramid di Mesir yang mengkagumkan itu sebagai peninggalan sejarah tamadun dunia.
Kajian itu menegaskan, bahawa Firaun menggunakan tanah jenis slurry untuk membina monumen yang tinggi, termasuk piramid. Justeru itu tidak mungkin bagi seseorang untuk mengangkat batu besar dan berat ribuan kilogram. Seterusnya pada dasar piramid, Firaun menggunakan batu semula jadi atau batu alam.
Lumpur tersebut merupakan campuran lumpur kapur yang dipanaskan dengan wap air garam dan akan menghasilkan wap air sehingga terbentuknya campuran tanah liat. Kemudian olahan itu dituangkan ke dalam tempat yang disediakan di dinding piramid. Lumpur yang sudah diadun mengikut saiz yang dikehendaki itu dibakar, lalu diletakkan di tempat yang sudah disediakan di dinding piramid.
Sehubungan itu, Profesor Davidovits telah mengambil sampel batu piramid yang terbesar untuk dilakukan analisis dengan menggunakan mikroskop elektron terhadap batu tersebut. Hasilnya, beliau menegaskan bahawa batu itu diperbuat daripada lumpur. Selama ini tanpa penggunaan mikroskop elektron, ahli geologi belum mampu untuk membezakan antara batu alam semula jadi dengan batu buatan manusia.
Penemuan oleh Davidovits adalah hasil kajian yang memakan masa kira-kira 20 tahun. Sebelum kajian yang begitu lama terhadap piramid Bosnia, Piramid Matahari dan menjelaskan bahawa batu-batunya diperbuat daripada tanah liat. Ini memperkuatkan lagi keyakinan bahawa kaedah ini tersebar luas di masa yang lalu.
Tanah liat
Sebelum ini, seorang saintis Belgium, Guy Demortier, telah bertahun-tahun mencari jawapan daripada pembuatan batu besar yang tersergam di puncak-puncak piramid. Beliau berkata:, "Setelah bertahun-tahun melakukan kajian dan penyelidikan, sekarang barulah saya yakin bahawa piramid yang terletak di Mesir diperbuat dengan menggunakan tanah liat."
Bukti-bukti dari kajian menunjukkan kepada kita bahawa bangunan-bangunan raksasa, patung-patung raksasa dan tiang-tiang yang ditemui dalam tamadun canggih zaman silam, juga dibina daripada 'tanah liat'.
Pembongkaran misteri piramid tersebut adalah hasil daripada mukjizat al-Quran yang telah berbicara sejak ribuan tahun dahulu sebelum para saintis dan ilmuan dunia menemukan rahsia tersebut.
Hairan dan ajaib, sejak 1,400 tahun yang lampau, Nabi Muhammad SAW dan beratus tahun selepas berakhirnya Dinasti Firaun di Mesir, memberitahu bahawa Firaun membina monumen yang megah dan tersohor itu yang dikenali sebagai piramid dengan menggunakan tanah liat.
Jika ditinjau daripada kejadian Nabi Adam sebagai bapa manusia dan menjadi khalifah di bumi, adalah juga berasal daripada penciptaan tanah liat yang ditiupkan roh oleh Allah SWT dan wujudlah sebagai manusia yang pertama di permukaan bumi.
Daripada pemaparan hakikat ayat al-Quran di atas, jelaslah membuktikan bahawa Nabi Muhammad SAW tidaklah berbicara mengikut hawa nafsunya melainkan hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT yang menciptakan Firaun dan menenggelamkan dia di Laut Merah bersama tenteranya.
Malah Allah juga menyelamatkan Nabi Musa as daripada kekejaman Firaun menuju tanah dan bumi Palestin yang didambakan sampai sekarang dan seterusnya hari kemudian.

Warisan Islam Sanlihe

  • Foto

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my 



HAJAT mengunjungi Masjid Niujie yang diiktiraf pusat ibadat tertua buat umat Muhammad di China tidak kesampaian. Namun, rasa kecewa terubat kerana sempat singgah di Masjid Sanlihe berusia 400 tahun. Rasa kagum dan tawaduk menyelubungi diri tatkala melangkah masuk ke rumah Allah di daerah Xicheng itu. Ikuti apa lagi keistimewaan masjid ini seperti dicatatkan Wartawan Berita Minggu, MOHD AZIS NGAH

Layanan mesra dua imam
PERKARA pertama yang terfikir sebaik tiba di Beijing, China ialah mesti menunaikan hajat menjejakkan kaki ke beberapa tempat wajib dilawati. Pertama, Masjid Niujie di Xuanwu yang diakui masjid tertua dan kedua, Tembok Besar China yang menjadi kekaguman penduduk dunia.
Walaupun hasrat menziarahi Masjid Niujie tidak kesampaian, memadai dan cukup berbaloi dapat singgah di sebuah lagi masjid kebanggaan umat Islam iaitu Masjid Sanlihe atau Yong Shou, terletak di daerah Xicheng yang tidak kurang hebatnya.

Gabungan seni bina Islam dan tradisional China pada pusat ibadat berusia 400 tahun itu menggambarkan sentuhan kreativiti perekanya dan ia juga tersenarai sebagai bangunan warisan.

Penulis bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan Mapan - Persatuan Pertukaran Antarabangsa Beijing (BIEA-SDC), sebuah organisasi mempromosi pembangunan lestari beribu pejabat di ibu negara China ini, Mohamad Azhar Jamadi sempat singgah di masjid berkenaan, baru-baru ini.

Kesempatan ke Beijing sebenarnya bagi membuat liputan Mesyuarat Kedua BIEA-SDC yang turut disertai delegasi dari Malaysia, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan (RDCIC), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Prof Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah serta Pengarah Institut Kajian Sejarah dan Patriosme Malaysia (IKSEP), Datuk Abdul Haziz Abd Ghani.
Jadual kerja yang ketat tidak menghalang kami menunaikan hasrat menjejakkan kaki ke tempat bersejarah di sekitar bandar raya ini sambil ditemani Pengarah Urusan BIEA-SDC, Dr David Foo Ka Kheng.

Singgah di Masjid Sanlihe, kami sempat menunaikan solat sunat di situ dan rasa begitu berbangga apabila disambut sendiri dua imam masjid berkenaan, Ibrahim Zhang, 43, dan Ibrahim Yang, 30.

Kedudukan masjid agak tersorok, terletak di lorong kecil kira-kira 100 meter dari jalan utama. Pintu masuknya pula di celah bangunan rumah kedai. Sebaik melangkah masuk, barulah kami menemui pintu utama ke laman masjid.

Uniknya, masjid ini menampilkan corak binaan berkonsepkan seni bina istana berbentuk Siheyuan, iaitu rumah yang mempunyai laman. Di pintu utama laman, masih gah tersergam pintu gerbang kecil mempunyai pengetuk tangan bulat yang biasanya digunakan pada rumah tradisional.

Di sebelah kiri dan kanan laman masjid, terdapat dua bangunan menempatkan pejabat pentadbiran dan stor penyelenggaraan. Bangunan menempatkan dewan utama untuk jemaah dikelilingi tembok batu serta sebuah bangunan kecil tempat mengambil wuduk lelaki dan wanita serta bilik air.

Paling menarik perhatian adalah bahagian tepi tembok batu yang menempatkan 11 batu bersurat masih dijaga elok dalam kedudukan asal sejak 400 tahun lalu. Di sebelahnya ada sebatang pokok besar digelar Pokok Musim Luruh, sama usianya dengan masjid berkenaan.


Gambar :Batu bersurat masih dijaga elok dalam kedudukan asal sejak 400 tahun lalu.


Sebahagian batu bersurat itu anugerah daripada pemerintah era Dinasti Ming dan kini berusia 400 tahun, bakinya dianugerahkan pemerintah zaman Dinasti Cing berusia 200 tahun. Beberapa tulisan Arab dan Mandarin jelas kelihatan dan boleh dibaca, sekali gus menunjukkan ketahanan serta kualiti seni lukis pada batu sejak zaman dulu.

Di bahagian depan laman masjid, terdapat satu batu bersurat tertera tulisan dalam bahasa Arab dan Mandarin secara bersebelahan. Berdasarkan penerangan Ibrahim, tulisan itu adalah perbandingan ajaran Islam dan ajaran Confucius bertujuan memberi penerangan serta perbandingan ajaran Islam.

“Itu satu kaedah dakwah, penduduk boleh buat perbandingan ajaran Islam dan Confucius, jadi ia lebih mudah untuk disebarkan,” kata Ibrahim Zhang, bercerita panjang lebar mengenai sejarah masjid berkenaan serta perkembangan Islam di China.

Selepas beberapa ketika, kami akhirnya terpaksa beredar walaupun kaki terasa begitu berat melangkah meninggalkan Yong Shou sebelum terbang pulang ke tanah air sambil berdoa 71 masjid di seluruh Beijing akan terus imarah.


INFO: Masjid Sanlihe



  • Dibina 1605 semasa pemerintahan rejim Wanli dalam Dinasti Ming (1368-1644)




  • Dibina semula 1624




  • Kapasiti 200 jemaah




  • Terletak di daerah Xicheng




  • Pernah menjadi kawasan kubur Islam sebelum dipindahkan ke kawasan lain




  • Terdapat sebiji batu nesan milik tokoh pegawai tentera disegani.