MASJID Schwetzingen di Jerman kini tidak lagi berperanan sebagai sebuah masjid. Dulunya masjid yang tersergam indah lagi mewah itu terletak di dalam Kompleks Istana Schwetzingen sebelum pemerintah negara itu menjadikannya muzium masjid. Sebagai bangunan tinggalan sejarah, ia sering menjadi tumpuan pelancong yang datang untuk melihat dari dekat keunikan, kemewahan serta kehalusan seni binanya. Ia adalah masjid pertama yang dibangunkan di Jerman pada 1740 iaitu ketika zaman pemerintahan Raja Rom, Frederick II.
Pembinaan masjid itu juga hasil toleransi dan hubungan antara agama. Antara isu sejarah yang berlegar di kalangan masyarakat, masjid itu dibina sebagai hadiah kepada salah seorang isteri raja yang berasal dari Turki yang beragama Islam.
Terdapat desas-desus lain yang berkembang luas di kalangan masyarakatnya iaitu salah seorang bangsawan yang hidup pada masa itu adalah seorang Muslim.
Masjid Scwetzingen dirancang dan dibangunkan arkitek berbangsa Perancis, Nicolas de Pigage. Proses pembinaan Masjid Schwetzingen mengambil masa 15 tahun untuk disiapkan.
Keindahannya tidak boleh disangkal lagi kerana ia menjadi satu-satunya masjid dalam taman pada abad ke-18 di Eropah.
Taman yang berada di sekeliling bangunan masjid menghasilkan konsep taman di Turki. Pesona seni bina Timur begitu jelas apabila pengunjung melihat dari luar bangunan Masjid Schwetzingen. Gaya oriental juga cukup ketara pada bahagian dalaman masjid dengan menggunakan kemasan mozek dan marmar mewah di lantai pada ruang tengahnya.
Permukaan dinding dalam masjid turut dihiasi lukisan bersalut emas manakala ayat al-Quran dihiasi di bahagian luar dinding dan kubah. Seperti masjid lain yang dibina pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniah, masjid Schwetzingen turut dilengkapi menara gaya khas Turki Uthmani. Sejarah juga mencatatkan, pada zaman Turki Uthmani, agama Islam tersebar ke serata benua Eropah.
Namun Islam hanya berjaya masuk ke Jerman pada 1700 hingga 1800 yang diperkenalkan pendatang dari Turki. Ketika itu, perkembangan agama Islam di Jerman cukup memberangsangkan.
Pada 1989, satu kajian yang dilakukan sebuah organisasi Islam di sana mendapati, lebih 10,000 orang Jerman memeluk Islam. Pada 2006, jumlah penduduk Muslim di Jerman mencapai lebih 3 juta daripada populasi keseluruhan penduduknya.
Berdasarkan perkembangan itu, sehingga kini terdapat lebih 2,000 masjid di Jerman, malah pembinaan masjid baru semakin meningkat. Masjid Schwetzingen adalah bangunan terbesar pertama yang menggabungkan gaya dan seni bina oriental dan Islam di negara berbahasa Jerman itu.

No comments:
Post a Comment