Laman Utama

Monday, 19 December 2011

Tambah elaun PPMD - Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam Bersama Perdana Menteri

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Durian runtuh buat Pegawai Penyelia Masjid Daerah (PPMD) apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan elaun mereka daripada RM1,210 kepada RM1,810 sebulan bermula tahun depan.
Beliau berkata, serentak itu, tuntutan elaun perjalanan PPMD juga dinaikkan kepada RM700 sebulan daripada RM500 sebelum ini. “Memandangkan sekarang hanya terdapat 87 PPMD di seluruh negara, saya ingin mengumumkan kerajaan bersetuju menambah jawatan itu ke semua daerah di seluruh negara,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Perdana Ulama, Umara dan Imam Bersama Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha. Perdana Menteri berkata, sekretariat khas ulama dan umara (Umum) juga akan ditubuhkan supaya komunikasi antara kerajaan dengan mereka lebih terancang serta tersusun.

“Melalui sekretariat ini, program dialog, forum, makmal dan aktiviti lain dapat diurus tadbir secara kerjasama strategik dengan agensi agama sedia ada. Sekretariat ini diterajui bersama Jakim dan pegawai saya di Pejabat Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata, sekretariat umum itu juga menerajui makmal strategik Islam bagi menghasilkan penyelesaian serta perancangan terhadap isu berkaitan hal ehwal Islam.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, bagi memperkemaskan lagi sistem pentadbiran agama Islam di peringkat persekutuan, sebuah Kompleks Pusat Pentadbiran Islam Putrajaya akan dibina di Presint 2, Putrajaya yang dijangka boleh digunakan pada 2014.

“Kerajaan menaruh harapan tinggi kepada ulama dan umara untuk berkongsi pandangan serta pendapat dalam semua aspek pemerintahan dan isu membabitkan kepentingan umat Islam yang sentiasa berhadapan dengan cabaran semasa.

“Nasihat ulama akan memberi faedah kepada pemerintah dan rakyat. Pentadbiran serta barisan kepimpinan negara memerlukan bantuan ulama dan cendikawan dalam pelbagai bidang. “Umara pula memerlukan pandangan ulama untuk mendapatkan maklumat mengenai isu dibangkitkan selain kefahaman dari sudut fatwa serta hukum Islam. Ini hanya dapat dinatijahkan melalui hubungan erat ulama dan umara,” katanya.

No comments:

Post a Comment