Laman Utama

Tuesday, 27 December 2011

Akta Murtad Lindungi Islam

Sikap terbuka punca wujud gerakan persenda agama

SEBELUM ini, umat Melayu Islam mungkin bersikap acuh tidak acuh terhadap kewujudan undang-undang berkaitan pencegahan murtad di sebahagian besar negeri di negara ini sejak 1980-an.
Sikap itu mungkin disebabkan selama ini mereka menganggap tiada pihak yang mungkin sanggup mengganggu atau menceroboh kesucian agama Islam kerana majoriti penduduk negara ini adalah orang Melayu beragama Islam.
Selama itu juga, umat Islam mungkin mengandaikan kedudukan agama Islam di Malaysia tetap utuh terpelihara selama-lamanya.

Tidak dinafikan perasaan terbuka mengamalkan konsep toleransi dalam beragama seperti dianjurkan ajaran Islam itu sendiri juga mendorong umat Islam tidak begitu mengambil kisah terhadap gerakan dakwah agama lain di negara ini.

Namun, mimpi indah toleransi agama di negara ini tidak semanis yang disangka kerana dalam era dunia tanpa sempadan ini, gerakan penyebaran agama bukan Islam terhadap orang Islam turut mengambil bahagian bersama kedatangan globalisasi.

Globalisasi yang didatangkan bersama pakej perjuangan menuntut kebebasan hak asasi dan demokrasi ala-Barat, turut merancakkan juga gerakan memurtadkan umat Islam di negara ini tanpa berselindung lagi.
Seterusnya, keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 yang kurang memihak kepada kerajaan memerintah seolah-olah menjadi kunci azimat kepada gerakan memurtadkan umat Islam ini membuka lebih luas pintu bagi mereka meningkatkan usaha yang tidak dapat ditepis pihak berkuasa agama Islam.

Selain gerakan murtad menjadi agresif, muncul pula badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat suntikan dana antarabangsa memperjuangkan kebebasan hak asasi manusia memperjuangkan agenda kebebasan beragama di negara ini.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sentiasa dicabar secara fizikal dan literal tanpa berselindung.

Entah berapa kali kesucian Islam disentuh dan diusik tanpa mengambil kira sensitiviti umat Islam seperti mendesak supaya masjid dan surau tidak melaungkan azan terlalu nyaring terutama pada waktu Subuh, membaling kepala khinzir dan menyimbah air najis di surau di samping menuntut peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk menguruskan tempat ibadat bukan Islam melebihi peruntukan masjid dan surau di seluruh negara.

Ia termasuk menuntut Injil berbahasa Melayu dibenarkan diedarkan di negara ini, memohon penggunaan kalimah Allah dalam kalangan orang bukan Islam, menuntut Suruhanjaya Antara Agama (IFC) ditubuhkan secara simboliknya bertujuan meletakkan Islam sama taraf dengan agama lain, selain membuang status agama pada kad pengenalan.

Lebih pedih lagi bagi umat Islam, insiden menghina Islam dan memurtadkan sekumpulan umat Islam di pusat komuniti di Damansara Utama yang dijadikan gereja pada Ramadan lalu membuktikan keberanian pihak terbabit mempersendakan agama Islam secara terbuka walaupun di tempat tertutup.

Rentetan itu, timbul desakan supaya Akta Murtad diwujudkan khusus mencegah dan membendung gejala murtad serta kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan timbul bolehkah Akta Murtad diwujudkan kerana berdasarkan kepada realiti perundangan di negara ini, isu berkaitan agama Islam berada di bawah payung Sultan atau Raja dan kerajaan negeri.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berpendapat Akta Murtad boleh diwujudkan tanpa perlu membabitkan kerajaan negeri atau jabatan agama Islam negeri (JAIN), tetapi menerusi Parlimen kerana Perkara 3(1) Perlembagaan menetapkan Islam ialah agama bagi Persekutuan.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebelum ini pernah berkata, secara prinsipnya undang-undang berkaitan mencegah atau menghalang bukan Islam berdakwah dan menyebarkan ajaran agama mereka kepada orang Islam boleh diselesaikan berpandukan dalam enakmen agama negeri-negeri.

Bagi meredakan kegelisahan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini menegaskan sudah tiba masa undang-undang berkaitan pencegahan murtad yang diwujudkan di sebahagian besar negeri di Malaysia sejak 1980-an dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurut beliau, enakmen berkaitan murtad sudah diwujudkan lama dulu bagi membendung gejala itu, tetapi tidak dikuatkuasakan sepenuhnya menyebabkan ada pihak menganggap tidak ada peruntukan undang-undang berkaitan isu itu.

Namun bagi Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Ahmad Fahmi Samsuddin, beliau berpendapat satu mekanisme bersama perlu diwujudkan bagi menangani isu murtad, antaranya mengadakan dialog antara agama, program pendidikan dan penerangan untuk menyedarkan umat Islam dan bukan Islam mengenai kebebasan beragama mengikut Perlembagaan.

“Sememangnya kita sedar gerakan memurtadkan umat Islam ini amat membahayakan realiti kehidupan kita. Namun, bagi umat Islam itu sendiri, kita perlu mempunyai kekuatan dalaman iaitu keutuhan pegangan akidah.

“Gerakan dakwah juga perlu diperkukuhkan dan konsisten terhadap umat Islam serta tidak harus menunggu berlaku sesuatu isu menyentuh kesucian Islam baru hendak diaktifkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment