Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
HAJAT mengunjungi Masjid Niujie yang diiktiraf pusat ibadat tertua buat umat Muhammad di China tidak kesampaian. Namun, rasa kecewa terubat kerana sempat singgah di Masjid Sanlihe berusia 400 tahun. Rasa kagum dan tawaduk menyelubungi diri tatkala melangkah masuk ke rumah Allah di daerah Xicheng itu. Ikuti apa lagi keistimewaan masjid ini seperti dicatatkan Wartawan Berita Minggu, MOHD AZIS NGAH
Layanan mesra dua imam
Walaupun hasrat menziarahi Masjid Niujie tidak kesampaian, memadai dan cukup berbaloi dapat singgah di sebuah lagi masjid kebanggaan umat Islam iaitu Masjid Sanlihe atau Yong Shou, terletak di daerah Xicheng yang tidak kurang hebatnya.
Gabungan seni bina Islam dan tradisional China pada pusat ibadat berusia 400 tahun itu menggambarkan sentuhan kreativiti perekanya dan ia juga tersenarai sebagai bangunan warisan.
Penulis bersama Ahli Jawatankuasa Pembangunan Mapan - Persatuan Pertukaran Antarabangsa Beijing (BIEA-SDC), sebuah organisasi mempromosi pembangunan lestari beribu pejabat di ibu negara China ini, Mohamad Azhar Jamadi sempat singgah di masjid berkenaan, baru-baru ini.
Kesempatan ke Beijing sebenarnya bagi membuat liputan Mesyuarat Kedua BIEA-SDC yang turut disertai delegasi dari Malaysia, iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan Kreativiti, Inovasi dan Pengkomersialan (RDCIC), Jabatan Ketua Menteri Melaka, Prof Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah serta Pengarah Institut Kajian Sejarah dan Patriosme Malaysia (IKSEP), Datuk Abdul Haziz Abd Ghani.
Jadual kerja yang ketat tidak menghalang kami menunaikan hasrat menjejakkan kaki ke tempat bersejarah di sekitar bandar raya ini sambil ditemani Pengarah Urusan BIEA-SDC, Dr David Foo Ka Kheng.
Singgah di Masjid Sanlihe, kami sempat menunaikan solat sunat di situ dan rasa begitu berbangga apabila disambut sendiri dua imam masjid berkenaan, Ibrahim Zhang, 43, dan Ibrahim Yang, 30.
Kedudukan masjid agak tersorok, terletak di lorong kecil kira-kira 100 meter dari jalan utama. Pintu masuknya pula di celah bangunan rumah kedai. Sebaik melangkah masuk, barulah kami menemui pintu utama ke laman masjid.
Uniknya, masjid ini menampilkan corak binaan berkonsepkan seni bina istana berbentuk Siheyuan, iaitu rumah yang mempunyai laman. Di pintu utama laman, masih gah tersergam pintu gerbang kecil mempunyai pengetuk tangan bulat yang biasanya digunakan pada rumah tradisional.
Di sebelah kiri dan kanan laman masjid, terdapat dua bangunan menempatkan pejabat pentadbiran dan stor penyelenggaraan. Bangunan menempatkan dewan utama untuk jemaah dikelilingi tembok batu serta sebuah bangunan kecil tempat mengambil wuduk lelaki dan wanita serta bilik air.
Paling menarik perhatian adalah bahagian tepi tembok batu yang menempatkan 11 batu bersurat masih dijaga elok dalam kedudukan asal sejak 400 tahun lalu. Di sebelahnya ada sebatang pokok besar digelar Pokok Musim Luruh, sama usianya dengan masjid berkenaan.
Gambar :Batu bersurat masih dijaga elok dalam kedudukan asal sejak 400 tahun lalu.
Sebahagian batu bersurat itu anugerah daripada pemerintah era Dinasti Ming dan kini berusia 400 tahun, bakinya dianugerahkan pemerintah zaman Dinasti Cing berusia 200 tahun. Beberapa tulisan Arab dan Mandarin jelas kelihatan dan boleh dibaca, sekali gus menunjukkan ketahanan serta kualiti seni lukis pada batu sejak zaman dulu.
Di bahagian depan laman masjid, terdapat satu batu bersurat tertera tulisan dalam bahasa Arab dan Mandarin secara bersebelahan. Berdasarkan penerangan Ibrahim, tulisan itu adalah perbandingan ajaran Islam dan ajaran Confucius bertujuan memberi penerangan serta perbandingan ajaran Islam.
“Itu satu kaedah dakwah, penduduk boleh buat perbandingan ajaran Islam dan Confucius, jadi ia lebih mudah untuk disebarkan,” kata Ibrahim Zhang, bercerita panjang lebar mengenai sejarah masjid berkenaan serta perkembangan Islam di China.
Selepas beberapa ketika, kami akhirnya terpaksa beredar walaupun kaki terasa begitu berat melangkah meninggalkan Yong Shou sebelum terbang pulang ke tanah air sambil berdoa 71 masjid di seluruh Beijing akan terus imarah.
INFO: Masjid Sanlihe

No comments:
Post a Comment